Sepang ragut korban lagi, Al-Fatihah buat Afidza Munandar
Astro Arena
November 3, 2019 15:01 MYT
November 3, 2019 15:01 MYT
DALAM keghairahan peminat sukan permotoran di Malaysia menyambut perlumbaan kejuaraan MotoGP pusingan ke 17 di litar antarabangsa Sepang, terpalit pula insiden kemalangan tragis.
Ia melibatkan kehilangan nyawa seorang pelumba muda Indonesia, Afridza Munandar, ketika beraksi di perlumbaan pertama Idemitsu Asia Talent Cup pada Sabtu, 2 November 2019.
Kemalangan yang berlaku seawal pusingan pertama menyaksikan jentera Afridza rebah menyembah bumi apabila dia gagal mengawal motosikalnya sebaik memasuki selekoh ke-10.
Saksi mendakwa Afridza mampu bangun semula untuk mengangkat motosikalnya namun belum sempat berbuat demikian, dia dilanggar pelumba lain sehingga menyebabkannya alami kecederaan parah.
Pasukan paramedik yang bergegas di lokasi kejadian membuat keputusan untuk mendapatkan perkhidmatan helikopter untuk membawa Afridza ke hospital Kuala Lumpur selepas mendapati Afridza alami kecederaan parah.
Pun begitu, pelumba berusia 20 tahun ini gagal diselamatkan dan disahkan menghembuskan nafas terakhir kesan daripada kemalangan tersebut.
Ia nyata menyedihkan komuniti sukan permotoran apatah lagi melibatkan pelumba muda yang sedang meningkat naik. Allahyarham mengharungi musim 2019 dengan cemerlang menerusi enam podium - dua kemenangan, dua kali muncul naib juara serta raih tempat ketiga sebanyak dua kali.
Kemalangan yang meragut nyawa Afridza mengingatkan kita tentang korban tragedi yang menimpa pelumba MotoGP, Marco Simoncelli pada 2011.
Ironinya pelumba Itali itu mengalami kemalangan di selekoh 11, berhampiran dengan selekoh yang meragut nyawa Afridza.
Malah cara kedua-duanya menemui ajal agak serupa dengan mereka dilanggar pelumba lain selepas terjatuh di atas litar.
Diharap insiden dan juga tragedi ini tidak memberi kesan dalam tempoh jangka masa panjang buat pelumba-pelumba muda yang menyertai Idemitsu Asia Talent Cup.
Apapun ia merupakan hari sedih selepas Sepang ragut korban lagi.
Al-Fatihah buat Allahyarham Afidza Munandar. - Oleh Akbar Sahari