Sepang 'makanan' saya - Damok

Bernama
September 12, 2022 16:56 MYT
Syarifuddin yang lebih dikenali sebagai Damok mengakui cuaca hujan akan menjadi cabaran utama buatnya dalam mengejar sasaran. - Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara Syarifuddin Azman optimis untuk menaiki podium pada Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 21 hingga 23 Oktober ini.
Syarifuddin yang lebih dikenali sebagai Damok mengakui cuaca hujan akan menjadi cabaran utama buatnya dalam mengejar sasaran itu namun meletakkan keyakinan besar kerana sudah biasa dengan keadaan trek SIC.
"Sepang (SIC) ni tempat saya, 'makanan' saya, jadi saya dah tahu jalan dia, tapi Oktober nanti kemungkinan cuaca hujan, jadi saya perlu persiapkan diri saya, mental untuk lebih baik.
"Saya juga harap sokongan peminat Malaysia di SIC nanti dapat membantu saya untuk lebih bersemangat," katanya kepada pemberita selepas menerima tajaan daripada Racing Boy (RCB) bagi perlumbaan itu.
Beliau yang menerima tiket 'wildcard' bersama Vision Track Racing Team untuk perlumbaan itu berkata kelebihan berlumba menggunakan jentera dan krew pasukan sama seperti di FIM Junior GP, turut membakar semangatnya untuk berada dalam kelompok hadapan pada GP Malaysia nanti.
"Krew itu dah jadi macam keluarga saya sendiri, saya selesa dan yakin dengan mereka, saya yakin diri saya boleh buat," katanya.
Pelumba berusia 21 tahun itu kini menduduki tempat ketiga daripada 27 pelumba dalam kedudukan Junior GP dengan 107 mata, bakal beraksi buat kali kelima di saingan Moto3 MotoGP, kesemuanya menerusi tiket wild card.
Beliau membuat penampilan pertama di GP Aragon pada musim lepas dengan kedudukan ke-13, kemudian meraih kedudukan ke-24 di GP Portugal (22-24 April), tempat ke-22 di GP Sepanyol (29 April-1 Mei) dan tempat ke-19 di GP Catalunya (3-5 Jun) pada musim ini.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata penjualan tiket kini telah menghampiri 50 peratus.
"Dijangka terdapat 8,000 peminat di Indonesia hadir ke perlumbaan ini dan setakat ini 5,000 peminat telah membeli tiket," katanya.
Azhan Shafriman yakin sasaran 170,000 penonton yang ditetapkan SIC dapat direalisasikan berdasarkan komitmen dan pengalaman luas selaku penganjur utama kejohanan itu.
-- BERNAMA
#Syarifuddin Azman #Damok #pelumba negara #MotoGP #Sepang
;