Sepak takraw Piala Raja Thai: Malaysia rangkul emas acara regu

Bernama
September 2, 2024 15:35 MYT
Pada perlawanan akhir hari ini, regu negara dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara menepati ramalan merangkul emas acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 selepas menewaskan India 2-0 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Pada perlawanan akhir hari ini, regu negara dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam turun dengan aksi mengagumkan apabila menguasai set pertama dengan 15-5.
Regu negara ternyata sukar digugat apabila melengkapkan kemenangan 15-9 untuk membawa pulang emas buat Malaysia.
Terdahulu, Malaysia meraih kemenangan dalam ketiga-tiga aksi divisyen premier liga sepusingan disertai lima negara itu sebelum aksi penentuan pingat emas berdepan India.
Turut mengambil bahagian pada kejohanan kali ini ialah Singapura, China dan Brunei.
Seteru utama skuad negara, Thailand tidak menyertai acara regu lelaki.
-- BERNAMA
#sepak takraw #Piala Raja Thai #Malaysia rangkul emas #kalahkan pasukan India