Sepak Takraw: Mohammad Syahir mohon maaf

Astro Arena
Ogos 19, 2017 16:47 MYT
MOHAMMAD SYAHIR: Saya minta maaf kepada penyokong yang datang ke sini. Mereka mengharapkan yang terbaik dan hanya inilah yang mampu kami persembahkan. Gambar fail
MALAYSIA terpaksa akur dengan kehebatan Thailand dalam acara regu berpasukan sepak takraw selepas skuad Gajah Putih itu menggondol emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.
Lebih memeritkan lagi, ketiga-tiga regu negara tewas dengan straight set, lantas membawa kepada permohonan maaf daripada ketua pasukan negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi.
"Saya minta maaf kepada penyokong yang datang ke sini. Mereka mengharapkan yang terbaik dan hanya inilah yang mampu kami persembahkan," katanya.
Malaysia, yang mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, tewas bermula dengan regu utama, Mohammad Syahir, Hanafiah Dollah dan Farhan Adam, 21-15, 21-17.
Skuad negara berada di ambang kekalahan apabila regu kedua negara, Said Ezwan Said De, Norhafizi Abdul Razak dan Safarudin Abu Bakar, tumpas 21-10, 21-6.
Regu ketiga yang dibarisi Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, Syazreen Qamar dan Alan Alias juga menjadi 'lauk' buat lawan apabila kalah kedua-dua set di bawah 10 mata, 21-9, 21-8.
Didahului oleh kekalahan 2-1 kepada Indonesia malam tadi, Malaysia kesudahannya hanya mendapat pingat gangsa sebagai habuan -- berkongsi dengan Brunei -- dan perak menjadi milik Indonesia.
#KL2017 #sepak takraw #Sukan SEA #Syahir Rosdi
;