Sentuhan Nova mampu tingkat prestasi, cabar pasangan handal dunia - Liu Ying

Bernama
Disember 22, 2022 15:20 MYT
Liu Ying, yang kini bergerak secara profesional, bagaimanapun berkata Nova perlu diberikan ruang secukupnya dalam membentuk beregu mantap. - Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu campuran skuad kebangsaan, Goh Liu Ying optimis pengalaman luas dimiliki Nova Widianto yang dilantik sebagai jurulatih beregu campuran baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mampu melonjakkan prestasi para pemain negara.
Liu Ying, yang kini bergerak secara profesional, bagaimanapun berkata Nova perlu diberikan ruang secukupnya dalam membentuk beregu mantap yang mampu memberi tentangan sengit kepada pasangan handal dunia pada masa depan.
"Kita mempunyai pemain yang bagus dalam kem beregu campuran negara, namun saya ingin melihat strategi apa yang bakal digunakan oleh coach Nova dalam mencabar beregu utama dari negara lain.
"Saya rasa pengalaman coach Nova yang membimbing beregu dari Indonesia sebelum ini boleh memberi manfaat kepada pemain kita malah, jika strateginya betul, Malaysia mungkin boleh lakar kejutan meraih pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus ulangi pencapaian saya dan Chan Peng Soon di Rio 2016," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, BAM dalam satu kenyataan memaklumkan, jurulatih dari Indonesia berusia 45 tahun itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun selaku pengendali beregu campuran dan akan melapor diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky, bulan depan.
Nova, juara dunia dua kali pada 2005 dan 2007 selain pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik edisi 2008 bersama gandingannya Liliyana Natsir, adalah antara beregu campuran terhebat ketika itu.
Dalam pada itu, Liu Ying berkata beliau tekad untuk menyajikan persembahan terbaik buat para peminat dalam penampilan terakhirnya pada Terbuka Malaysia 2023 bulan depan sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia badminton.
Beliau yang enggan meletakkan sebarang tekanan dalam aksi terakhir pada kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia bagi musim 2023, hanya mahu menikmati setiap detik bersama Peng Soon di dalam gelanggang.
Peng Soon-Liu Ying dijadual berdepan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Liu Ying, yang mengumumkan akan menggantung raket selepas Terbuka Malaysia 2023 awal bulan lepas, berpasangan bersama Peng Soon selama 13 tahun dan pernah meninggalkan BAM pada Dis 2018 untuk bergerak secara profesional sebelum menamatkan gandingan mereka hujung tahun lepas.
Sejak daripada itu, Liu Ying bergandingan bersama Ong Yew Sin, Soong Joo Ven dan Low Juan Shen manakala Peng Soon yang kembali ke pangkuan BAM pernah berpasangan dengan Valeree Siow, Toh Ee Wei dan Cheah Yee See.
Peng Soon dan Yee See kemudian membuat keputusan untuk keluar dari pasukan kebangsaan pada bulan lepas.
-- BERNAMA
#badminton #BAM #Goh Liu Ying #Nova Widianto
;