Sensasi Salah ledak 200 gol

Sinar Harian
Disember 10, 2023 11:20 MYT
Pemain Liverpool Mohamad Salah menunjukkan reaksi selepas menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan menentang Crystal Palace di Selhurst Park. - Foto AP
PEMAIN sensasi, Mohamed Salah menyifatkan ledakan gol ke-200 ketika membantu Liverpool bangkit daripada ketinggalan menewaskan 10 pemain Crystal Palace 2-1 pada malam Sabtu sebagai sesuatu yang hebat.
Kejayaan tersebut dianggap oleh pemain Mesir itu sebagai titik permulaan positif buat The Reds merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
"Apa yang penting kami menang aksi ini. Ia satu perasaan hebat. Saya gembira dengan rekod ini dan hakikat kami menang perlawanan," kata Salah.
Kemenangan itu melonjakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp ke puncak liga dengan 37 mata dalam aksi yang menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi penalti Jean-Philippe Mateta pada minit ke-57.
Detik kebangkitan Liverpool bermula hasil gol penyamaan Salah selepas Jordan Ayew dibuang padang pada minit ke-76 sebelum Harvey Elliott mengesahkan kemenangan The Reds pada masa kecederaan.
Kemenangan tersebut membuatkan Salah melihat peluang cerah buat Liverpool memburu gelaran pertama kelab itu sejak tahun 2020.
"Saya lihat mentaliti untuk terus berjuang hingga wisel penamat. Kami miliki skuad berwajah baharu kerana ada enam atau tujuh pemain muka baharu.
"Mereka banyak belajar dan amat bagus. Kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa tahun ini," ujar Salah.
Gol ke-14 Salah musim ini menjadikannya pemain kelima menyumbat 200 gol buat Liverpool dalam semua pertandingan selepas Ian Rush (346), Roger Hunt (285), Gordon Hodgson (241) dan Billy Liddell (228). - Sinar Harian
#Mohamed Salah #ledakan gol #The Reds #EPL
;