Sensasi gelaran Grand Slam ke-24 Djokovic
Sinar Harian
September 11, 2023 10:55 MYT
September 11, 2023 10:55 MYT
PEMAIN sensasi, Novak Djokovic berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali keempat dan gelaran perseorangan Grand Slam ke-24 di New York pada Isnin.
Kejayaan pemain Serbia itu hadir selepas dia menewaskan Daniil Medvedev 6-3, 7-6 (7/5), 6-3 sekali gus menebus kekecewaan kalah kepada pemain Rusia itu dalam aksi final dua tahun lalu.
Lebih manis dia menjadi juara lelaki tertua pada usia 36 tahun dalam era Terbuka dan menyamai rekod sepanjang zaman, Margaret Court paling banyak meraih Grand Slam.
"Ia sangat bermakna buat saya. Sukar untuk digambarkan. Saya benar-benar menyelami impian zaman kanak-kanak saya untuk bersaing di peringkat tertinggi dalam sukan ini.
"Saya tidak pernah membayangkan akan berada di sini bercakap mengenai 24 Grand Slam," katanya.
Djokovic yang akan kembali memimpin ranking dunia adalah lelaki pertama memenangi tiga acara Grand Slam dalam semusim sebanyak empat kali.
"Saya ingin menyampaikan mesej kepada anak muda. Ketika berusia tujuh tahun saya mengimpikan untuk memenangi Wimbledon dan menjadi pemain nombor satu dunia.
"Saya amat bersyukur kerana saya rasa mempunyai kuasa untuk menentukan takdir sendiri.
"Hidup dalam masa sekarang, lupakan masa silam. Jika anda mahukan masa depan lebih baik, anda cipta sendiri," ujar Djokovic.
Medvedev mengecewakan Djokovic dalam aksi straight set pada final 2021 sekali gus menyekat Djokovic menjadi lelaki pertama memenangi keempat-empat Grand Slam dalam tahun yang sama sejak Rod Laver pada tahun 1969.
Kemenangan itu menambahkan lagi kejayaannya selepas meraih Terbuka Australia dan Perancis, dengan satu-satunya gelaran dilepaskan adalah ketika kekalahan lima set kepada Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir Wimbledon Julai lalu. - Sinar Harian