Senarai awal sukan dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 diketahui akhir Februari

Bernama
Januari 30, 2016 13:44 MYT
KHAIRY: Bagi acara sukan yang tidak tersenarai, persatuan-persatuan sukan boleh membuat rayuan sebelum Julai.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan senarai awal acara sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2017, akhir Februari ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya kini masih lagi berada dalam peringkat penilaian untuk memilih sukan yang akan dipilih.
"Bagi acara sukan yang tidak tersenarai, persatuan-persatuan sukan boleh membuat rayuan sebelum Julai ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan bina badan, Mr. Brotherhood di sini, hari ini.
Pertandingan yang disertai lebih 200 peserta itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Terbuka Atas 170cm, Terbuka Bawah 170cm, Bakat Baru Atas 170cm dan Bakat Baru Bawah 170cm.
Bagaimanapun, Khairy berkata sukan bina badan masih lagi berada dalam proses penilaian sama ada akan dimasukkan atau pun tidak pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.
Sementara itu, pemenang gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali, Sazali Samad berharap acara bina badan akan dipertandingkan nanti ekoran kemunculan ramai bakat baharu yang berpotensi dan boleh diketengahkan.
"Saya akui memang atlet kita bagus...ada peningkatan yang lebih positif tapi mereka kena berusaha lebih keras dan terapkan disiplin secara berterusan.
"Bagi saya bukan mudah untuk menang walaupun hanya di Sukan SEA. Mereka kena tahu itu dan perlu sentiasa buat latihan berpanjangan," katanya.
#acara sukan #Khairy Jamaluddin #Sukan bertanding #Sukan SEA
;