Senarai akhir pelumba ke ACC 2013 dijangka diketahui Khamis - Abu Samah

Bernama
Januari 26, 2013 09:36 MYT
Senarai akhir pelumba kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India dijangka diketahui Khamis ini (31 Jan).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata barisan pelumba negara ke kejohanan itu akan diputuskan Jawatankuasa Pemilihan PKBM yang akan bermesyuarat pada tarikh tersebut.
Beliau berkata 43 pelumba disenarai setakat ini, namun akan dikurang kepada 30 untuk kejohanan yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 17 Mac itu.
"Mesyuarat itu akan dipengerusikan saya sendiri bersama beberapa anggota jawatankuasa pemilihan sebelum kita memilih nama-nama yang layak mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejohanan Trek Remaja Asia Terbuka Kuala Lumpur 2013 di sini Jumaat.
Abu Samah, yang merupakan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), mengesahkan dua pelumba basikal kebangsaan yang mewakili negara pada Sukan Olimpik London tahun lepas, iaitu Mohammad Adiq Husaini Othman dan Amir Mustafa Rusli, adalah antara pelumba yang disenarai pendek ke ACC 2013.
"Kita juga akan mempertimbangkan nama-nama yang pernah mewakili negara pada Festival Olimpik Remaja Australia tahun lepas untuk ke kejohanan ACC tahun ini," kata Abu Samah.
#Datuk Abu Samah Abdul Wahab #Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 #New Delhi #pelumba basikal
;