Semua pihak perlu akur saranan FIFA - FAM

Faris Danial Razi
April 9, 2020 18:52 MYT
Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, percaya garis panduan yang dikongsikan oleh FIFA pada Selasa lalu itu menjadi penunjuk jalan dalam melerai kekusutan sedia ada. - Bernama
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis meminta semua pihak berkepentingan agar akur dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebagai usaha menangani impak ekonomi gara-gara COVID-19.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, percaya garis panduan yang dikongsikan pada Selasa lalu itu menjadi penunjuk jalan dalam melerai kekusutan sedia ada.
“Untuk mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan, mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.
“Kami menggesa semua pasukan agar memahami langkah-langkah yang digariskan oleh FIFA dalam memastikan keputusan yang diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional dan telus,” katanya dalam satu kenyataan media di laman Facebook.
Terdahulu, FIFA membenarkan pasukan dan pemain berbincang mengenai pemotongan gaji diadakan secara terbuka supaya satu penyelesaian atau persetujuan bersama dapat dicapai dalam tempoh yang sukar ini.
BACA: COVID-19: FAM saran kelab, pemain, pegawai buat perbincangan mengenai isu gaji
Namun berikutan itu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang berkeras menyatakan kontrak perlu dihormati dan dipatuhi terutama isu pembayaran gaji.
“Keengganan PFAM untuk berbincang mengenai perkara ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan sebaliknya membuang masa yang berharga untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Berikut merupakan Pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak FIFA bertajuk "Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19":
1. Perjanjian yang telah berakhir dan Perjanjian Baharu
2. Perjanjian yang tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijangkakan
3. Tempoh Pendaftaran (Jendela Perpindahan)
4. Perkara Peraturan-Peraturan Lain.
Hasil daripada itu, FAM mencadangkan langkah-langkah berikut sebagai proses mencari solusi terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu:
Langkah pertama:
Sekiranya pasukan memerlukan kajian semula ke atas status penggajian dalam kontrak, pasukan hendaklah berbincang secara terus dengan pemain dan kakitangan teknikal bagi mencapai persetujuan melalui satu Perjanjian Bersama yang sesuai. Perjanjian Bersama ini perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 22 April ini.
Langkah kedua:
Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) adalah digalakkan untuk terlibat sama dan boleh menyediakan sebarang bentuk pakej dan pelan Penstrukturan Penggajian Sementara jika mendapat persetujuan kesemua pasukan dan pemain.
Dalam hal ini, FAM ingin mengesyorkan agar MFL dapat mengambil inisiatif mengadakan rundingan segera dengan PFAM bagi mempelopori cadangan ini. Sebagai usaha mengelakkan situasi ini berlarutan, FAM amat berharap untuk sebarang persetujuan bersama mampu dicapai selewat-lewatnya pada 22 April 2020.
Langkah ketiga:
Sekiranya tiada penyelesaian yang dicapai pada tempoh yang ditetapkan, perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan. Di peringkat ini, meskipun perkara berkenaan diperuntukkan dalam garis panduan FIFA, pasukan dan juga MFL diingatkan untuk tidak mengambil keputusan di sebelah pihak (unilateral decisions) tanpa merujuk terlebih dahulu kepada FAM.
#FAM #FIFA #Persatuan Bolasepak Malaysia FAM #Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia PFAM #Setiausaha Agung FAM #stuart michael ramalingam
;