Semua aktiviti sukan di Pulau Pinang kembali seperti biasa mulai Rabu

Bernama
Julai 13, 2020 05:20 MYT
Pengusaha sukan perlu mematuhi SOP Protokol Am Pengurusan yang ditetapkan oleh KBS dan MKN. - Gambar hiasan
Kerajaan Pulau Pinang membenarkan penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal serta kejohanan dan pertandingan sukan tiada bersentuhan fizikal tempatan tanpa penonton mulai Rabu ini, selaras dengan pengumuman Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee berkata masa pengoperasian untuk semua aktiviti sukan dan pengusaha sukan di negeri ini tidak lagi dihadkan dan kembali seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KBS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pengusaha perlu mempamerkan QR Code PG Care dan MySejahtera untuk diimbas oleh pengguna sebelum memasuki premis. Pengusaha perlu mendaftar dan mengisi borang maklumat di notification.miti.gov.my.
"Pengusaha juga perlu mematuhi SOP Protokol Am Pengurusan yang ditetapkan oleh KBS dan MKN," katanya dalam kenyataan, di sini.
Selain itu, Soon berkata masa operasi bagi aktiviti 'line dance', zumba, QiGong dan XiangGong tidak lagi dihadkan dari 7 pagi hingga 10 malam dan turut dibenarkan beroperasi seperti biasa mulai Rabu ini.
-- BERNAMA
#aktiviti sukan #Belia #COVID-19 #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #kerajaan #keselamatan #line dance #Majlis Keselamatan Negara #MySejahtera #operasi #pengusaha sukan #PKP #PKPP #QR Code #rekreasi #sentuhan fizikal #Soon Lip Chee #SOP #sukan #tanpa penonton #zumba
;