Semoga pelaku diberikan petunjuk dan hidayah - Akhyar

Sinar Harian
Mei 5, 2024 17:00 MYT
Gambar Akhyar terduduk di hadapan sebuah kenderaan dipercayai miliknya dalam keadaan lemah turut tular di media sosial sejak malam tadi.
PEMAIN Terengganu FC, Akhyar Rashid tidak mahu menyimpan dendam sebaliknya mendoakan agar penyamun yang mencederakannya diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, dia juga berada dalam keadaan baik selain berterima kasih kepada pihak yang mendoakan kesihatannya.
"Assalamualaikum, pertama sekali terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Semuanya dalam keadaan baik.
"Semoga kita semua di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT. Semoga pelakunya diberikan petunjuk dan hidayah olehnya," kata Akhyar dalam Instastory miliknya.
Sebelum ini, pemain sayap kebangsaan itu dilaporkan telah disamun dua lelaki bersenjata dalam satu kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada malam Khamis.
Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800 selain dipukul menggunakan senjata besi boleh laras.
Akibat kejadian itu, Akhyar dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Akhyar Rashid #pemain Terengganu FC #dendam #cedera dipukul
;