Semangat pemain, sokongan peminat dorong TFC mara ke suku akhir

Bernama
Julai 7, 2022 02:11 MYT
Mohd Nafuzi memberi arahan kepada anak buahnya semasa bertemu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Beraksi di laman sendiri di hadapan lebih 11,000 penonton dan semangat para pemain yang mahu menang menjadi antara kunci kejayaan pasukan Terengganu FC menundukkan Kedah Darul Aman FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Pengendali Skuad Penyu Nafuzi Zain berkata walaupun pemain beraksi dalam 'kepenatan' susulan jadual perlawanan yang padat, sokongan padu peminat bola sepak seolah-olah memberi penggalak tambahan kepada TFC untuk mengejar kemenangan sekali gus melayakkan diri ke suku akhir Piala FA.
"Perjalanan yang sukar (bagi pasukan TFC) tapi dengan usaha, komitmen dan karakter para pemain yang ditunjukkan...alhamdulillah rezeki Terengganu malam ini, sukar nak gambarkan kejayaan malam ini.
"Para pemain yang bersungguh-sungguh mahu melangkah jauh (menang) dan dari segi peminat yang memenuhi stadium, para pemain seperti lupa sedikit kepenatan mereka," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi.
Beliau bagaimanapun mengingatkan para pemainnya supaya jangan mudah berasa selesa, sebaliknya perlu terus berusaha keras untuk perlawanan akan datang.
Sementara itu, Pengendali skuad Sang Kenari Aidil Sharin Sahak berkata anak buahnya telah berusaha keras dalam perlawanan malam tadi, namun akur kerana nasib tidak menyebelahi mereka.
"Mereka telah cuba yang terbaik... Kita tidak boleh jangka penyerang akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Pemain saya adalah pejuang...tugas saya adalah meningkatkan kembali moral mereka," katanya.
Dalam aksi malam tadi, skuad Penyu menguasai permainan dengan melancarkan gerakan dan seawal minit keenam gol kemenangan tunggal terhasil menerusi pemain tengah Mohd Faiz Mohd Mansor yang menanduk masuk hantaran silang oleh Mohamad Faisal Abdul Halim.
Pada minit ke-51, TFC bermain dengan 10 orang apabila pemain pertahanan, Pape Abdoulaye Diakite dilayangkan kad merah kerana menarik Wanja Ronald Ngah yang mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol.
-- BERNAMA
#Terengganu FC #Kedah Darul Aman FC #Nafuzi Zain #Piala FA