Semangat patriotik seharusnya melebihi keresahan harga tiket - Legenda bola sepak

Bernama
November 15, 2023 11:44 MYT
Pertembungan antara skuad bimbingan Kim Pan Gon dan skuad "The White Falcons" akan berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Khamis. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Harga tiket tidak seharusnya menjadi masalah kepada peminat setia untuk memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan pada aksi pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, esok.
Pertembungan antara skuad bimbingan Kim Pan Gon dan skuad "The White Falcons" itu yang merupakan antara pasukan 100 terbaik dunia akan berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini.
Legenda bola sepak negara Azman Adnan menegaskan semangat cintakan negara sepatutnya melebihi keresahan mengenai harga tiket.
Menurut bekas penyerang prolifik Selangor itu, para pemain negara sentiasa mengharapkan sokongan padu peminat yang dianggap sebagai pemain ke-12 ketika berjuang di atas padang.
"Jika zaman dahulu penyokong sanggup simpan duit, ikat perut untuk beli tiket bola ke stadium, kenapa sekarang tidak? Tarikh perlawanan ini sudah lama ditetapkan, maka penyokong yang benar-benar cintakan negara mesti ada masa untuk simpan duit.
"Saya sedih lihat anak-anak muda sekarang sanggup berkorban dan berhabis duit beli tiket konsert artis luar negara mencecah ratusan serta hampir ribuan ringgit, tetapi tidak sanggup buat perkara yang sama untuk pejuang negara, harga tiket tak sampai RM100 pun," katanya kepada Bernama.
Turut senada ialah legenda pertahanan skuad kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail yang melihat harga tiket ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini berpatutan.
"Jika ada pihak atau penyokong yang mahukan harga Rahmah, pada pendapat saya tidak boleh. Ini kerana harga itu adalah yang sebaiknya kerana FAM perlu membayar sewa stadium dan perkara lain.
"Malah, RM2 daripada harga tiket akan disumbangkan ke Palestin, maka selain menyokong bola sepak negara anda juga turut membantu Palestin," kata bekas tonggak pertahanan Pahang itu yang terkilan dan kecewa dengan pihak yang memohon supaya harga tiket bola dijual dengan harga Rahmah.
Beliau berkata harga yang ditetapkan FAM sudah cukup Rahmah dan keengganan peminat hadir ke stadium disebabkan oleh harga tiket yang dirasakan mahal pasti akan memberi kesan mendalam kepada para pemain yang turut melakukan pengorbanan masing-masing untuk mengharumkan nama negara.
Justeru, Jamal menyeru dan meminta peminat untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya dalam memburu tiga mata penting esok.
Setakat pagi ini, sebanyak 7,587 keping tiket aksi Malaysia dan Kyrgyzstan sudah dijual.
FAM sebelum ini menetapkan harga tiket bagi aksi menentang Kyrgyzstan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.
Bagaimanapun, semalam media melaporkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon FAM mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket selepas menerima pelbagai reaksi daripada peminat yang meminta tiket dengan "harga Rahmah" bagi membolehkan mereka membanjiri stadium.
Selepas dua perlawanan bulan ini termasuk aksi menentang Taiwan di Taipei pada 21 Nov, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan di sini masing-masing pada 21 dan 26 Mac tahun depan, Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun di Bukit Jalil.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia 2026 #Kim Pan Gon #Stadium Nasional #harga tiket #Azman Adnan
;