Semangat Mat Kilau iringi Kejuaraan Pencak Silat Dunia
Bernama
Julai 26, 2022 06:45 MYT
Julai 26, 2022 06:45 MYT
MELAKA: Kemunculan watak utama filem 'Mat Kilau' lakonan Datuk Adi Putra menghangatkan upacara pembukaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19, malam tadi.
Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) gegak gempita dengan sorakan semangat lebih 500 peserta dari 40 negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan selama lima hari bermula hari ini.
Lontaran monolog Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang dipetik menerusi filem Mat Kilau itu disampaikan dengan penuh bersemangat sejurus upacara perasmian dilakukan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata silat memainkan peranan besar dalam memastikan budaya anak bangsa ini dapat dikenali di seluruh dunia.
Beliau berkata kejuaraan berprestij itu merupakan platform terbaik mempromosi budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.
Dalam pada itu, majlis perasmian turut dimeriahkan dengan demontrasi silat oleh para peserta serta kehadiran bekas juara dunia yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan itu.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Prabowo Subianto berkata, menjadi harapan badan induk sukan itu untuk membawa pencak silat ke arena Sukan Olimpik pada masa akan datang.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Penasihat Kehormat PESAKA, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM,) Tan Sri Norza Zakaria.
-- BERNAMA