Semangat berpasukan kunci skuad bola jaring remaja, juara di Korea Selatan

Bernama
Jun 18, 2023 23:15 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bergambar kenangan bersama pasukan bola jaring remaja kebangsaan yang menjuarai Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia 2023 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - BERNAMA
SEPANG: Semangat berpasukan yang dipamerkan skuad bola jaring remaja kebangsaan menjadi kunci kepada kejayaan pasukan itu, mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia buat kali ketujuh di Jeonju, Korea Selatan semalam.
Kapten Pasukan Siti Maisarah Affandi berkata kemenangan itu juga amat bermakna, kerana ia membolehkan skuad berkenaan berjaya menempah slot beraksi di Kejohanan Remaja Dunia 2025 di Gibralta, Sepanyol.
Pemain berusia 21 tahun yang memegang posisi penjaring gol (GS) itu bagaimanapun berkata beliau tidak dapat beraksi pada kejohanan berprestij pada 2025 itu, kerana sudah melebihi had umur yang ditetapkan.
Namun beliau berharap atlet yang bermain mewakili negara pada kejohanan remaja dunia itu nanti, akan lebih kukuh dan mempamerkan prestasi lebih baik.
"Saya rasa hubungan kami kuat sebab sentiasa melakukan latihan bersama," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menyambut kepulangan wira negara itu berkata pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada Persatuan Bola Jaring Malaysia, bagi memastikan persiapan pasukan itu ke Sepanyol tidak terjejas.
"Macam sekarang, mereka banyak dapat bantuan daripada perbadanan stadium untuk melakukan latihan di gelanggang latihan di Bukit Kiara. Tetapi sekarang kami akan pastikan apa yang kami boleh bantu, kami bantu," katanya.
Hannah turut berharap supaya sukan itu diperkasakan seawal peringkat sekolah rendah, bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat dalam bidang bola jaring untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Semalam, skuad kendalian Aminah Asaari meraih kejayaan itu, selepas mengetepikan Singapura 49-45 pada aksi final.
Malaysia pernah memenangi Kejohanan Remaja Asia sebanyak enam kali pada 2004, 2006, 2008, 2010, 2013 dan 2019 manakala pada 2015 dan 2017, skuad negara bergelar naib juara.
-- BERNAMA
#skuad bola jaring remaja #Juara #Korea Selatan #Siti Maisarah Affandi
;