Semangat atlet pecut Para tidak luntur tanpa sentuhan Jaganathan

Bernama
Februari 3, 2022 18:41 MYT
RIDZUAN: Walaupun sudah lama berlatih dengan jurulatih Jaganathan tetapi saya tak ada masalah jika beliau digantikan dengan orang lain, saya akan tetap berlatih seperti biasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut Para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi tetap akan memberikan yang terbaik pada kejohanan dan temasya yang disertai meskipun tanpa bimbingan jurulatih kesayangannya R. Jaganathan.
Pemenang pingat emas 100 meter (m) kategori lelaki T36 (cerebral palsy) Sukan Paralimpik Rio 2016 itu juga menerima hakikat jodohnya bersama Jaganathan sudah sampai ke penghujung dan kini bersedia menimba pengalaman baharu di bawah jurulatih berbeza dalam usahanya meningkatkan prestasi.
"Walaupun sudah lama berlatih dengan jurulatih Jaganathan tetapi saya tak ada masalah jika beliau digantikan dengan orang lain, saya akan tetap berlatih seperti biasa.
"Saya tetap bersemangat untuk dapatkan pingat emas Sukan Paralimpik itu semula dan berharap kawan-kawan seperjuangan akan bersama-sama turut meraih pingat emas," katanya ketika ditemui pada sidang media Status Pelantikan Jurulatih Para Olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Terdahulu, MSN mengesahkan kontrak Jaganathan sebagai Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para Kebangsaan tidak disambung sebagai memberi laluan kepada jurulatih lebih muda dalam meningkatkan lagi prestasi barisan atlet para negara.
MSN turut memaklumkan tugas ditinggalkan Jaganathan akan digalas pembantunya, Ahmad Rafee Arifin yang telah mula berkecimpung dalam bidang kejurulatihan sejak 2018.
Sementara itu, pemenang pingat emas 400m kategori lelaki T20 (masalah pembelajaran) Sukan Para Asia 2018 Jakarta-Palembang, Nasharuddin Mohamed mengakui sedih akan perkembangan itu selepas lima tahun melalui suka duka bersama Jaganathan.
"Saya berterima kasih tidak terhingga kepada beliau kerana banyak bantu saya terutama dalam mencapai pingat emas di Indonesia. Kalau boleh saya nak jurulatih baharu nanti, dapat bantu saya melakar cacatan lebih bagus," kata pemegang rekod Asia dengan catatan 49.32 saat itu.
Berkongsi pandangan yang sama adalah atlet 100m kategori lelaki T12 (masalah penglihatan), Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah yang menyifatkan Jaganathan telah banyak mencurahkan bakti kepada skuad olahraga para negara.
Namun, beliau yang meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, berkata MSN mungkin mempunyai perancangan lebih baik dalam memastikan atlet para negara mencapai tahap terbaik dalam menghadapi tiga temasya utama tahun ini.
"Bagi saya, bukannya tidak terganggu (kontrak Jaganathan tidak disambung), cuma kita sudah lama dengan dia tetapi bagi saya mana-mana jurulatih yang datang tetap kita kena kekalkan prinsip untuk menjadi lebih baik," kata atlet berusia 28 tahun kelahiran Kota Tinggi, Johor itu.
-- BERNAMA
#Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #atlet para #R Jaganathan #jurulatih
;