Selepas kisah Hidilyn: Potensi akademi angkat berat di Melaka semakin cerah

Shuhada Abdul Kadir
Julai 28, 2021 15:01 MYT
Ahmad Janius berkata, kewujudan akademi berkenaan bagaimanapun perlu ditambah baik untuk melatih lebih ramai atlet pelapis negara ke peringkat kejohanan lebih tinggi. - Astro AWANI
JASIN: Hasrat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk memiliki sebuah akademi dengan fasiliti sukan yang lengkap di Jasin, Melaka semakin cerah apabila kerajaan negeri itu berhasrat mempertimbangkan habuan sebidang tanah, bagi tujuan berkenaan.
Ia selepas kejayaan atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz meraih emas dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 mencuri perhatian dunia, kerana sebelum itu menjadikan garaj rumah keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, sebagai lokasi latihan.
Pemilik rumah berkenaan, Ahmad Janius Abdullah yang juga Timbalan Presiden PABM berkata, berita gembira itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam ketika meluangkan masa membuat kunjungan ke ‘garaj terbuka’di rumahnya hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Sukan Angkat Berat Malaysia berkata, perkara itu amat bertepatan dengan keperluan semasa memandangkan ramai atlet pelapis muda mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia sukan itu.
“Saya nampak di Melaka ni potensi dia (bidang sukan angkat berat) bagus. Melaka pernah melahirkan atlet angkat berat, di peringkat Sukma dan kebangsaan.
“Salah satunya yang saya sebut semalam adalah sebidang tanah di Nyalas, yang di bawah seliaan Jabatan Pertanian Melaka. Kita ada berhubung dengan Jabatan Pertanian Melaka dan disuruh panjangkan hal ini pada MSN Melaka atau MSN untuk (dijadikan) pusat latihan.
“Saya harap dengan kehadiran Tun Mohd Ali tadi, perkara ini boleh jadi realiti untuk kita bangunkan sukan ini khas di Melaka. Itu harapan kita,” ujar beliau.
Terdahulu, Tun Mohd Ali meluangkan masa kira-kira 20 minit berkunjung ke ‘garaj terbuka’ yang pernah menjadi lokasi latihan Hidilyn selepas terkandas di negara ini sejak awal tahun lalu, sehingga akhirnya mendapat perhatian dunia.
Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas, Jasin dipilih sebagai Akademi Angkat Berat Sekolah Rendah oleh PABM dan melatih beberapa atlet pelapis muda.
Mengulas lanjut, Ahmad Janius berkata, kewujudan akademi berkenaan bagaimanapun perlu ditambah baik untuk melatih lebih ramai atlet pelapis negara ke peringkat kejohanan lebih tinggi.
Malah katanya, Hidilyn juga ada menyatakan hasratnya untuk membantu akademi angkat berat di daerah Jasin ini.
Malah, menurut Ahmad Janius, meskipun atlet itu kini masih berada di Tokyo, dia tidak lupa bertanyakan perkembangan atlet-atlet muda tempatan serta mengingatkan mereka untuk tidak culas dalam membuat latihan.
#Hidilyn Diaz #angkat berat #Melaka #Jasin #kesang tua #Olimpik #Tokyo #PABM #akademi angkat berat #ahmad janius ab dullah #Mohd Ali Rustam
;