Selepas cemerlang di Terbuka China, Izzudin dianugerah cahaya mata pertama
Gempak
September 24, 2024 17:16 MYT
September 24, 2024 17:16 MYT
PEMAIN badminton beregu negara, Nur Izzudin Mohd Rumsani selamat menimang cahaya mata sulungnya pada Isnin.
Berita gembira itu dikongsikan oleh isteri Izzudin, Mawar Mutiara menerusi satu hantaran di Instagram.
Mawar memuat naik gambarnya bersama Izzuddin sedang merangkul anak sulung mereka sambil memandang dengan kasih sayang.
Istimewanya lagi, apabila pasangan ini menimang cahaya mata pertama mereka sewaktu ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 23 September 2024.
Hantaran tersebut kini meraih perhatian warganet yang rata-ratanya menitipkan ucapan tahniah kepada Izzuddin dan isteri atas kelahiran permata hati mereka itu.
Terdahulu, Izzuddin dan Goh Sze Fei mencipta kejutan apabila menjadi pasangan regu pertama dari Malaysia merangkul gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Kemenangan mereka itu sekali gus menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia bagi muncul juara kategori beregu lelaki pada temasya kejohanan Terbuka China. -- Gempak