Selangor terpaksa akur dengan kekalahan kedua
Astro Arena
Mac 20, 2021 00:39 MYT
Mac 20, 2021 00:39 MYT
SELANGOR terpaksa berputih mata di laman sendiri apabila kecundang 2-0 di tangan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super, sebentar tadi.
Jaringan daripada Al-Hafiz Harun dan Danial Ashraf Abdullah menyaksikan Pulau Pinang membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium MBPJ.
Selangor, yang menghuni tangga kelima liga selepas empat perlawanan, meletakkan sasaran untuk melakar kemenangan di laman sendiri.
Permainan serangan yang dipamerkan menonjolkan beberapa peluang untuk membuka jaringan menerusi Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-25 namun tandukkannya tersasar.
Pelawat turut berpeluang menguji benteng pertahanan Selangor, Casagrande melepaskan percubaan pada minit ke-36 gagal disempurnakan.
Jaringan yang dinanti-nantikan hadir dua minit kemudian, Al-Hafiz bijak melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Selangor meningkatkan intensiti permainan dengan melakukan serangan demi serangan mencari jaringan penyamaan.
Ketumpulan jentera serangan skuad kendalian Karsten Nietzel dihukum apabila Danial bijak membaca lorongan rakan sepasukan sebelum meledak gol kedua buat skuad kendalian Thomas Trucha.
Permainan bertahan Pulau Pinang hingga penghujung permainan berjaya membuatkan Selangor terpaksa menelan perit dengan kekalahan kedua buat musim ini.
Keputusan lain:
MELAKA 2 - 1 KL CITY
UITM 0 - 1 KEDAH
Liga Perdana
JDT II 3 - 2 PERAK II
PDRM 1 - 2 KUCHING CITY