Selangor terima kekalahan pertama saingan Piala Malaysia 2017

Bernama
Ogos 2, 2017 07:00 MYT
Pemain Sarawak, Mateo Roskam (dua, kanan) dikawal ketat oleh pemain pertahanan Selangor Ugochukwu Ukah (dua, kiri) pada perlawanan Peringkat Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi. --fotoBERNAMA
Juara 33 kali, Selangor menerima kekalahan pertama dalam kempen Piala Malaysia 2017 selepas tewas 1-2 kepada Sarawak dalam aksi Kumpulan D di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.
Skuad bimbingan P. Maniam itu bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan menerusi pemain pertahanan Ugochukwu Ukah pada minit ke-37 yang menanduk masuk bola hasil sepakan percuma cantik oleh Mohammad Syahmi untuk menjadikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung babak kedua Sarawak tampil mempamerkan aksi garang dan menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi penyerang import, Mateo Roskam yang bijak memperdaya dua pertahanan Selangor sebelum melakukan rembatan yang menewaskan penjaga gawang, Muhd Zarif Irfan Hashimuddin.
Kesilapan pemain gantian Mohd Amri Yahyah mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya membawa padah apabila Milos Raikovic menggunakan peluang tersebut untuk menjaringkan gol kemenangan skuad 'Bujang Senang' pada minit ke-65.
Selangor kini kekal di tangga kedua Kumpulan D berkongsi 10 mata bersama pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas lima aksi perlawanan awal peringkat kumpulan.
Sementara di Kota Bharu, Kelantan dikejutkan pasukan pelawat seawal minit keempat apabila tandukan Jeon Woo Young berhasil membuahkan gol pertama Melaka United.
Woo Young sekali lagi meletakkan Kelantan dalam keadaan tertekan apabila sepakannya berjaya menghasilkan gol kedua Melaka United pada minit ke-30.
Tiga minit berselang, Kelantan terus derita di gelanggang keramat mereka apabila sepakan leret pemain import pasukan pelawat Marko Simic meledak gol buat Melaka United.
Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan akhirnya berjaya mengurangkan defisit gol selepas Mohd Khairul Izuan Rosli berhasil menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-51.
Kelantan terus merapatkan jurang apabila penyerang importnya Mamadou M Danso bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang lawan dengan menjaringkan gol pada minit ke-86.
Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2017 yang berbaki satu lagi perlawanan akan disambung pada 9 Sept depan.
-- BERNAMA
#bola sepak #Piala Malaysia #Sarawak #Selangor
;