Selangor sekadar seri dengan Tampines Rovers
Bernama
Mac 13, 2013 00:19 MYT
Mac 13, 2013 00:19 MYT
Selangor gagal mengutip mata penuh pada perlawanan kedua Piala AFC kumpulan H apabila sekadar seri 3-3 dengan Tampines Rovers FC dari Singapura di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.
Selepas kalah 1-0 kepada East Benggal dari India pada perlawanan sulung 27 Feb lalu, Selangor kembali dengan corak permainan agresif untuk memburu gol semangat.
Pemain import Francis Forkey Doe tidak menghampakan skuad 'Gergasi Merah' itu dengan membuka tirai jaringan seawal minit kelapan.
Kegembiraan pasukan Selangor itu tidak kekal lama apabila pasukan Tampines Rovers berjaya menyamakan kedudukan menerusi Aleksandar Duric pada minit ke-19 untuk kedudukan 1-1 pada babak pertama.
Pada babak kedua perlawanan, skuad bimbingan Irfan Bakti mengatasi pasukan pelawat menerusi jaringan penyerang berbisa Mohd Amri Yahya pada minit ke-45 tetapi dua minit kemudian Tampines Rovers sekali lagi menyamakan menerusi jaringan Imran Sahib.
Forkey Doe sekali lagi meletakkan Selangor di hadapan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 namun pasukan pelawat berjaya berkongsi mata dengan tandukan Yamashita Kunihiro pada minit ke-72.
Pada perlawanan berikutnya Selangor dijadulkan bertemu pasukan kelab dari Vietnam, Sai Gon Xuan Thanh di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam, pada 3 April ini.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan G, Kelantan mengalahkan pasukan berstatus kelab dari Myanmar, Ayeyawady United FC 3-1 di Youth Training Centre, Yangon , Myanmar.
Kelantan dijadualkan bertemu pasukan SHB Da Nang dari Vietnam di Stadium Sultan Mohammad IV Stadium, Kota Baharu, Kelantan, pada 2 April ini.