Selangor sah ikat Nurshamil

Astro Arena
Januari 20, 2017 15:14 MYT
Nurshamil hanya mengikat kontrak bersama Selangor FA selama semusim dan selepas itu dia dijangka akan bersama semula skuad Hang Tuah bagi menghadapi musim 2018. - Gambar Facebook
PENYERANG muda Melaka United, Nurshamil Abdul Ghani, sah menjadi milik Selangor apabila gambarnya sedang menjalani sesi latihan bersama pasukan itu mulai tersebar luas petang semalam.
Timbalan Presiden Melaka United Football Club (MUFC), Datuk Yusoff Mahadi, akhirnya mengeluarkan kenyataan bahawa Nurshamil dilepaskan kepada The Red Giants kerana mahu penjaring terbanyak Liga FAM itu menimba lebih banyak pengalaman dan mengasah lebih tajam kemahirannya sebagai seorang penyerang.
"Tujuan kami melepaskannya bagi membolehkan dia menimba lebih banyak pengalaman, apatah lagi Melaka United memiliki ramai penyerang, termasuk Amri Yahyah, Sergio Aguero, IIija Spasojevic dan Mohd Fauzi Roslan.
"Kami harap dia mampu membuktikan sentuhannya bersama The Red Giants, tambahan skuad itu juga bersaing di pentas Liga Super musim ini.”
Namun, Nurshamil hanya mengikat kontrak bersama Selangor FA selama semusim dan selepas itu dia dijangka akan bersama semula skuad Hang Tuah bagi menghadapi musim 2018.
Sebelum ini, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perlis telah menyatakan minat untuk meminjam penyerang berkenaan, namun Melaka United lebih berminat melepaskan Nurshamil kepada Selangor.
#bola sepak #melaka united #Melaka United Football Club #MUFC #Nurshamil Abdul Ghani #Selangor #yusoff mahadi
;