Selangor perlu cari gelanggang rasmi selain Stadium Nasional

Ian Johan Ariff
Januari 16, 2018 17:07 MYT
Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu penjadualan yang lebih stabil dan jika Selangor menggunakan SNBJ, ia tidak bergerak seiringan untuk mencapai matlamat itu. -Foto BERNAMA
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan ia satu perkara yang mustahil untuk Selangor menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) sebagai ‘home venue’ pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Ia berikutan empat daripada enam perlawanan pertama Selangor sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsung di stadium tersebut dan kemungkinan lebih banyak lagi jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa mahu menggunakan stadium itu.
"Jika terdapat perubahan jadual pertandingan berpunca dari isu ini sudah tentu FMLLP akan dipersalahkan dan kita tidak bergerak seiringan ke arah penjadualan yang lebih stabil seperti yang saya arahkan kepada pengurusan FMLLP." titah Tunku Ismail dalam satu kenyataan di Facebook FAM di sini, hari ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin senada dengan pendapat Tunku Ismail yang turut dimuatkan dalam Facebook FAM.
Jelas Hamidin, Selangor perlu mencari gelanggang sendiri selain SNBJ dengan segara dan mencadangkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras atau Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebagai gelanggang sendiri, memandangkan sepak mula saingan Liga Super 2018 sudah semakin hampir, iaitu 3 Februari ini.
Jika Selangor menggunakan SNBJ, pihak pengurusan liga FMLLP mungkin terpaksa melakukan pindaan penjadualan perlawanan liga dengan kerap, memandangkan stadium berkenaan mempunyai jadual acara lain yang padat sepanjang tahun.
Dalam kenyataan Tunku Ismail itu juga, beliau mahu Selangor bergerak ke hadapan dan tidak menjadikan lampu limpah di Stadium Selayang sebagai alasan tidak mahu menggunakan stadium itu.
Sebaliknya, Selangor perlu mencontohi pasukan seperti PJ Rangers (AirAsia) yang sanggup melabur untuk Stadium MBPJ bagi memastikan gelanggang tersebut sesuasi untuk saingan Liga Malaysia.
Jika tidak menaik taraf lampu limpah di Stadium Selayang, Selangor terpaksa bermain di sebelah petang dan kesemua perlawanan tidak berpeluang disiarkan di televisyen secara langsung.
Ia akan menyebabkan Selangor kehilangan sumber pendapatan menerusi hak penyiaran.
Selangor berhasrat untuk menggunakan SNBJ sebagai ‘home venue’ atau gelangang rasmi bagi pasukan itu mengharungi Liga Malaysia 2018 selepas tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk kembali ke Stadium Shah Alam.
Musim lepas, Selangor terpaksa menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang sendiri dan kapasiti yang kecil turut dikatakan punca pendapatan pasukan itu berkurangan.
#Datuk Hamidin #FAM #FAS #FMLLP #Liga Malaysia #PJ Rangers #Selangor #SNBJ #Stadium MBPJ #Stadium Nasional #Stadium Selayang #TMJ #Tunku Ismail
;