Selangor kekal di tangga ketiga Liga Super

Bernama
Mei 11, 2013 03:15 MYT
Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Perak dengan keputusan 1-1 pada perlawanan dramatik Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat.
Perkongsian mata itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Selangor dan Perak yang masing-masing menduduki tangga ketiga dan ketujuh liga dengan pungutan 26 dan 22 mata.
Kedudukan Selangor boleh dipintas oleh pasukan tangga keempat liga, Johor Darul Takzim (Johor DT) sekiranya pasukan selatan tanahair itu menundukkan Selangor PKNS FC di halaman sendiri, Sabtu malam.
Pada pertemuan antara Selangor-Perak, Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa mengejutkan pasukan Gergasi Merah menerusi sepakan percuma yang menarik daripada jarak 20 meter pada minit ke-19 sebelum pemain gantian, Raimi Mohd Nor menyelamatkan maruah Selangor dengan gol penyamaan pada masa kecederaan.
Kelantan pula terus memberi tekanan kepada pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan yang masih belum mencatatkan kemenangan dengan keputusan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Tiga gol skuad The Red Warriors dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-31, Indra Putra Mahayuddin (minit ke-75) dan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-81.
Dalam saingan Liga Perdana, Sarawak berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Sime Darby FC musim ini selepas menundukkan wakil kelab Lembah Klang itu dengan keputusan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching.
Bobby Gonzales muncul wira skuad Bujang Senang dengan jaringan gol tunggal pada minit ke-19 untuk membolehkan mereka mengutip 37 mata, kurang dua mata berbanding Sime Darby FC yang kekal menerajui takhta Liga Perdana setakat ini.
Di Alor Star, Kedah merekodkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Sabah dalam perlawanan dramatik di Stadium Darul Aman, Alor Star.
Penyerang import dari Croatia, Alen Guc menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol seawal minit kelapan selepas mendapat hantaran kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli menambah derita pasukan Sabah dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-37 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut
#Johor Darul Takzim #Perak #Selangor