Selangor karam di laman sendiri!
Astro Arena
Mac 18, 2023 23:23 MYT
Mac 18, 2023 23:23 MYT
SHAH ALAM: Harapan peminat-peminat Selangor untuk melihat bekas juara dua kali Liga Super itu memadamkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada awal musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada juara bertahan Liga Super sembilan kali berturut-turut berkenaan di laman sendiri.
Pada awalnya, anak didik Tan Cheng Hoe yang mengamalkan formasi 4-3-3 itu memberi saingan dan menyekat permainan pantas Harimau Selatan berkenaan sehingga memberi tekanan kepada Esteban Solari untuk merubah formasinya dalam separuh kedua.
Kesilapan yang dilakukan anak didik Cheng Hoe itu dalam babak kedua sebenarnya menjurus kepada terlalu banyak memberi ruang kepada pemain-pemain Harimau Selatan menguasai bola di bahagian tengah dan tidak begitu agresif dalam perebutan bola di kaki pemain-pemain JDT.
Itu yang membuatkan Endrick Dos Santos, Juan Muniz, Oscar Arribas melakukan hantaran-hantaran ke hadapan mencari Arif Aiman Hanapi dan Diogo Santos.
Selain itu, pergerakan-pergerakan pertukaran posisi pemain-pemain Harimau Selatan berkenaan yang menyebabkan pemain The Red Giants keliru hingga membuatkan Juan Muniz berjaya mencipta jaringan pertama JDT.
Bermula daripada jaringan pertama yang dicipta anak didik Solari terus membuatkan pemain The Red Giants hilang arah dan terus melakukan kesilapan-kesilapan terutama dalam menggekalkan taktikal disiplin ketika bertahan dan menyerang.
Apabila bentuk segi empat atau segi tiga sudah tidak kekal ia sebenarnya memberi ruang kepada pemain-pemain Harimau Selatan itu untuk melihat laluan hantaran ke hadapan sebagaimana jaringan pertama dan ketiga diperolehi JDT.
Faktor itu juga jelas bahawa komunikasi dan persefahaman di antara pemain-pemain The Red Giants.
Atas faktor itu semua yang membuatkan The Red Giants karam di laman sendiri dan tewas dengan jaringan yang besar.
Ini diakui sendiri oleh Tan Cheng Hoe, namun ia bukan pengakhiran untuk Selangor sebaliknya mereka perlu bangkit untuk tingkatkan keinginan dalam diri bagi mencabar kedudukan pasukan-pasukan di atas terutamanya kepada pemain-pemain import mereka.
Setakat ini mereka tidak membantu langsung dalam memastikan The Red Giants berada pada prestasi yang konsisten pada setiap perlawanan bagi memcabar kedudukan teratas Liga Super.
Ini juga satu pengajaran kepada pengurusan The Red Giants supaya tidak terpedaya dengan agen-agen yang membawa pemain import supaya Selangor tidak terus karam.