Selangor juara Sukma 2016, namun Hafiz Jantan akan diingati
Astro Arena
Julai 31, 2016 12:24 MYT
Julai 31, 2016 12:24 MYT
HASRAT Sarawak untuk menjulang juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 di tempat sendiri berkecai, apabila ditewaskan Selangor dengan perbezaan dua pingat emas, dalam saingan penuh dramatik, malam tadi.
Selangor mencatat 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa untuk menerima trofi juara malam daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini.
Sarawak pula sekadar memperoleh 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa untuk meletakkannya di tempat kedua manakala Terengganu di kedudukan ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.
Hari terakhir pertandingan semalam menyaksikan Selangor dikalungkan enam pingat emas tambahan, dengan empat daripadanya disumbangkan oleh gimnastik artistik menerusi Chau Jern Rong sebanyak dua emas (gelang dan palang sejajar lelaki), Tan Fu Yie (kekuda pelana lelaki) dan Nur Eli Ellina Azmi ( senam lantai wanita).
Emas acara pelayaran pula dimenangi Md Faizal Norizan yang memenangi acara Antarabangsa 420 lelaki manakala dalam sukan tenis, emas disumbangkan oleh pasukan beregu lelaki.
Sarawak bagaimanapun hanya dapat menuai lima emas semalam, dengan ten pin bowling menyumbang dua emas. Ervin Lim Wai Jun mencipta emas dalam acara Masters lelaki manakala Nerosha Keligit bersaing sesama sendiri dengan Gillian Lim untuk emas Masters wanita.
Esmelda Arecia Menti Alfred Geling pula menyumbang emas dari sukan gimnastik artistik apabila menungguli acara batang titian manakala emas dalam sukan tenis diperoleh menerusi Aslina Chua An Ping yang memenangi acara perseorangan wanita.
Emas terakhir Sarawak diperoleh menerusi acara petanque, apabila Md Akmal Rizal, Muhd Nursufyan dan Md Rafie Ja’apar memenangi acara bertiga lelaki.
Namun temasya yang akan menutup tirai malam ini pasti akan diingati dengan beberapa kejayaan besar atlet negara memecah rekod kebangsaan.
Paling menyerlah tentunya kejayaan anak kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka, Khairul Hafiz Jantan memadamkan rekod 18 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 100 meter, apabila mencatatkan 10.18 saat.
Kejayaan ini pasti manis kerana ia dilakarkan di hadapan Watson sendiri dan menjadi hadiah ulang tahun ke-18 yang amat bernilai bagi Khairul Hafiz. Ya, pastinya, angka 18 kali ini adalah yang akan paling diingati oleh raja pecut negara yang baharu ini.