Selangor idam jadi juara keseluruhan SUKMA 2024
Bernama
November 1, 2023 04:15 MYT
November 1, 2023 04:15 MYT
SHAH ALAM: Bersandarkan prestasi terkini atlet negeri, Selangor menyasarkan tempat teratas kedudukan pingat bagi diangkat sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, Majlis Sukan Negeri Selangor memberi fokus khusus kepada acara diyakini mampu menuai pingat di samping memastikan setiap sukan bertanding mendapat perhatian sewajarnya.
"Proses persiapan dan latihan telah bermula dan insya-Allah kita akan bagi yang terbaik untuk SUKMA nanti dengan prospek pingat emas kita termasuk bagi acara sukan seperti akuatik, olahraga, boling padang, boling, menembak dan memanah," katanya kepada Bernama.
Sarawak dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA edisi ke-21 itu yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan.
Beliau berkata, Selangor telah melahirkan ramai nama besar dalam sukan termasuk atlet gimnastik Farah Ann Abdul Hadi, Gavin Kyle Green (golf) dan Lee Hup Wei (olahraga) hasil pelaksanaan program pembangunan sukan negeri.
"Selangor telah menjalankan pelbagai program pembangunan dari peringkat akar umbi seterusnya ke program elit, dan dengan penyertaan atlet kita di SUKMA mampu menonjolkan kemampuan mereka bagi mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri menyambut baik peruntukan RM50 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan sukan seluruh negara menerusi Belanjawan 2024.
"Sehingga kini lebih 70 fasiliti sukan dibaik pulih dan dinaik taraf oleh kerajaan negeri mengikut standard peraturan dan spesifikasi khas sukan dan kita berharap peruntukan dalam Belanjawan 2024 ini dapat disalurkan kepada Selangor untuk naik taraf dan selenggara fasiliti sukan di kampung dan baik pulih stadium daerah," katanya.
Beliau berkata fasiliti sukan baharu juga perlu dibina di kawasan perumahan baharu di negeri itu termasuk di bandar Elmina, Rimbayu, Kuala Langat dan Rawang.
Mengenai proses perobohan Stadium Shah Alam untuk digantikan dengan Kompleks Sukan Shah Alam, katanya, kerja-kerja akan dilakukan akhir tahun ini dalam masa dua bulan dengan mengambil kira bentuk muka bumi, struktur bangunan dan keselamatan. - BERNAMA