Selangor FC juara Piala Belia 2022

Bernama
Ogos 26, 2022 05:45 MYT
Antara aksi menarik dalam final pusingan kedua Piala Belia 2022 antara Sri Pahang FC dan Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi. - Foto Facebook Football Association of Malaysia
TEMERLOH: Skuad Selangor FC bawah 19 tahun dinobatkan sebagai juara Piala Belia 2022 selepas menundukkan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 selepas final pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, pada Jumaat.
Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas Selangor FC menang 1-0 pada aksi final pertama di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.
Pada babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat sebaik mungkin cuba mengatur gerakan untuk menghasilkan gol tetapi ia berakhir tanpa sebarang jaringan.
Selangor FC akhirnya berjaya membuka gol perlawanan apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Muhammad Amirul Haziq pada minit ke-67 separuh masa kedua, berjaya menggegar gawang tuan rumah.
Pasukan Tok Gajah, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi percubaan jarak jauh oleh Nazul Izamil Zulkifli.
Pasukan Sri Pahang FC bangkit untuk menokok jaringan pada minit akhir perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan ke arah kubu lawan, namun keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
-- BERNAMA
#Selangor FC #Piala Belia 2022 #Juara #bola sepak
;