Selangor FC dijangka sambung latihan minggu depan

Bernama
Jun 1, 2021 06:26 MYT
Selepas 13 aksi musim ini, Selangor FC kini berada di kedudukan kelima dengan 19 mata.
KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor FC dijangka kembali menjalani kem latihan berpusat bermula minggu depan sebagai persiapan menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Selepas kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kebenaran kepada pasukan untuk menjalani latihan menerusi pendekatan kuarantin pada tempoh fasa pertama sekatan pergerakan penuh ini, skuad Gergasi Merah itu bakal memulakan latihan dengan menetap di sebuah hotel di Shah Alam.
"Sekarang ini tak apa jika tidak dapat adakan aksi persahabatan, yang penting latihan diteruskan. Saya yakin selepas lockdown berakhir, perlawanan persahabatan dapat dibuat sebelum liga bersambung (bulan depan)," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan daripada MFL pada Selasa.
Selepas 13 aksi musim ini, Selangor FC kini berada di kedudukan kelima dengan 19 mata.
Sementara itu, Johan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaik pulih kualiti padang Stadium MBPJ, selepas separuh musim beraksi dalam keadaan padang yang kurang memuaskan.
Ia berikutan padang itu sering terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat, sekali gus mendapat kritikan berhubung kualiti gelanggang itu.
"Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk menaik taraf padang dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.
"Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #Selangor FC #kem latihan #Liga Super #MFL
;