Selangor FC belum fail rayuan ke MFL, hanya akan buat rayuan terhadap keputusan baharu
Ridauddin Daud
Jun 27, 2024 20:13 MYT
Jun 27, 2024 20:13 MYT
KUALA LUMPUR: Selangor FC memaklumkan mereka masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan hukuman dikenakan kepada pasukan itu sebelum ini.
Menerusi kenyataan media pada Khamis, The Red Giants hanya akan membuat rayuan terhadap keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Rayuan tersebut juga akan berlandaskan kepada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan hukuman berkenaan.
The Red Giants juga mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan tersebut susulan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 pada 10 Mei lepas.
Kenyataan terbaharu itu adalah respons terhadap keputusan MFL yang telah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap pasukan tersebut.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk mengurangkan denda kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000.
Begitupun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.
Jelasnya, MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.
Selain itu, pemotongan tiga mata yang dikenakan sebelum ini juga dibatalkan.
Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan.
Keputusan itu bermakna penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut.