Selangor benam NS, Terengganu berpesta gol

Bernama
Ogos 14, 2023 06:00 MYT
Yohandry (dua, kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan bolasepak Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Selangor FC mengukuhkan cengkaman dalam perebutan slot Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan apabila melebarkan jurang mata di tempat kedua selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC 4-0, pada perlawanan Liga Super, malam tadi.
Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, Selangor mendominasi separuh masa pertama, namun hanya menjaringkan satu gol menerusi percubaan dari luar kotak penalti pemain import Richmond Boakye pada minit ke-27.
Seperti biasa, anak buah Tan Cheng Hoe tampil dengan persembahan lebih bertenaga pada separuh masa kedua untuk menjaringkan tiga gol bermula dengan penyudah Ayron Del Valle pada minit ke-59 sebelum Yohandry Jose Orozco meletakkan Selangor selesa mendahului 3-0 pada minit ke-75.
Pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar melengkapkan kemenangan 4-0 apabila mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-83 sekali gus menyaksikan Selangor mengumpul 46 mata, enam mata di atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat ketiga yang kurang dua perlawanan.
Selangor tidak boleh keciciran tiga mata dalam melengkapkan baki lima perlawanan Liga Super sekiranya mahu memastikan slot Piala AFC musim depan berada dalam genggaman.
Sementara itu, Terengganu FC berpesta gol apabila membelasah Kelantan FC 8-0 pada satu lagi pertembungan Liga Super yang tertangguh selama 90 minit susulan padang ditakungi air akibat hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Keadaan itu tidak menjejaskan skuad Penyu bimbingan Tomislav Steinbruckner yang beraksi cemerlang dengan mencetak empat gol pada separuh masa pertama masing-masing menerusi Ivan Mamut pada minit ke-14, Nurillo Tukhtasiniov (minit ke-28), Nik Muhammad Sharif Haseefy (minit ke-36) dan Engku Muhammad Nur Shakir pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua, Terengganu hanya memerlukan masa dua minit untuk meledak gol kelima pada minit ke-47 menerusi Muhammad Safwan Mazlan apabila melakukan rembatan susulan bola hantaran rakan pasukan dalam kotak penalti.
Mamut meraih gol peribadi kedua selepas menjaringkan gol keenam pasukan pada minit ke-53 diikuti gol ketujuh Terengganu menerusi pemain gantian Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-63 sebelum Mamut melengkapkan hatrik tiga minit kemudian.
Terengganu kekal di kedudukan keenam mengumpul 32 mata sementara Kelantan kekal di tempat kedua tercorot dengan lapan mata.
-- BERNAMA
#Liga Super #afc #Negeri Sembilan FC #Selangor FC
;