Selangor bangkit sebelum tempah slot ke pusingan ketiga Piala FA
Bernama
Mac 1, 2015 08:41 MYT
Mac 1, 2015 08:41 MYT
Pasukan Selangor diheret ke penentuan sepakan penalti sebelum menang 4-2 ke atas Felda United FC (FUFC) pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam Sabtu.
Skuad 'Gergasi Merah', yang juga juara lima kali Piala FA, dijangka berdepan saingan sengit dari Terengganu pada pusingan ketiga, Mac ini.
Terdahulu, perlawanan berkenaan terpaksa dibawa ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 pada perlawanan 90 minit.
FUFC selesa mendahului dua gol di hadapan menerusi sepakan penalti Bojan Miladinovic pada minit ke-47 dan Makeche Ndumba, tiga minit kemudian.
Bagaimanapun, Selangor bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-78 dan tandukan Guilherme De Paula pada minit ke-88.
Terengganu pula melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka dalam saingan pusingan kedua.
Tiga gol 'skuad Penyu' disumbangkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-47 dan Paulo Rangel (53' dan 71') manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaring oleh Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-88.
Kelab dari Singapura, Lions XII turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas membenam Kedah United 4-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Empat gol Lions XII dijaringkan oleh Mohd Afiq Yunos pada minit ke-37, Mohd Sahil Suhaimi (47' dan 84') serta Gabriel Quak Jun Yi pada minit ke-62.
Lions XII bakal berdepan SPA Putrajaya FC pada pusingan seterusnya selepas wakil kelab Lembah Klang itu mengalahkan kelab dari Pahang, Kuantan FA 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Wakil kelab Terengganu, T-Team pula diheret ke perlawanan masa tambahan sebelum menang 3-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Tiga gol skuad 'The Titans' dijaring oleh Farhod Tadjiev pada minit 101 dan 109' serta Mohd Safwan Rasid pada minit ke-106.
Menanti mereka di pusingan ketiga adalah Perak yang mengalahkan wakil Pahang, Shahzan Muda 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pulau Pinang turut melangkah ke pusingan ketiga berdepan Negeri Sembilan selepas menang tipis 1-0 ke atas Perlis hasil sepakan percuma Mohd Faiz Subri pada minit ke-71 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menang tipis 2-1 ke atas Selangor PKNS FC untuk bertemu Kedah.
Skuad 'Harimau Selatan' terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pemain import Selangor PKNS FC, Keisuke Ogawa seawal minit pertama sebelum JDT
II bangkit meledak dua jaringan menerusi Leandro Sebastian Velázquez pada minit ke-62 dan kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Perlawanan berkenaan turut dicemari dengan layangan kad merah kepada tiga pemain Selangor PKNS FC iaitu Muhd Khairu Azrin Khazali pada minit ke-65 selain Patrick Ronaldinho Wleh dan Fazli Baharudin pada penghujung perlawanan.