Selangor akui turun sebagai 'underdog', JDT enggan komen

Bernama
Ogos 23, 2024 15:30 MYT
Nidzam (dua, kiri) bersama ketua pasukan Selangor FC Safwan Baharudin (kiri) menjulang Piala FA bersama Lopez (dua, kanan) dan Eldstal (kanan) pada sidang media menjelang perlawanan akhir Piala FA 2024. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC Nidzam Jamil mengakui skuadnya akan turun sebagai pasukan bukan pilihan atau 'underdog' ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA malam esok.
Beliau bagaimanapun berkata tidak mahu anak kendaliannya mensia-siakan peluang beraksi di piala berprestij itu demi mengejar impian pasukan Gergasi Merah kembali menjulang Piala FA selepas 15 tahun.
"Untuk banding kedua-dua pasukan ini, JDT pasukan yang ada kejayaan besar selama 10 tahun, dan Selangor kita mengakui pasukan yang mengejar impian dan kedudukan lebih baik untuk pengiktirafan. Kita sangat positif, kita akan lalui dengan senyuman dan perasaan gembira.
"Kerana final ada dua pasukan bertanding, semestinya peluang adalah 50-50, 90 minit perlawanan kita juga ada cita-cita sekarang di final, berapa langkah sahaja pisahkan dengan piala, kita ambil peluang ini," katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nidzam tidak menyangka mampu membawa pasukannya beraksi di satu daripada perlawanan bola sepak terbesar di Malaysia, meskipun baru lima bulan bersama pasukan Gergasi Merah.
Beliau mengakui sikap pemainnya yang begitu positif membantu pasukan untuk mara ke final meskipun berdepan beberapa rintangan sepanjang musim ini.
"Sikap yang membawa kita ke final sebab kita tak lalui Piala FA dengan perjalanan yang lancar, ada kalah dan menang, kemunculan semula dua tiga kali, ia satu kisah yang menarik untuk diceritakan suatu hari nanti," katanya.
Nidzam pada masa sama turut tidak menolak kemungkinan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim akan turun beraksi esok.
Sementara itu, penolong jurulatih JDT Jose Lopez dan pemain pertahanan Junior Eldstal tidak mahu menyuarakan sebarang komen di sidang media hari ini meskipun pengamal media melontarkan beberapa soalan kepada pasukan Harimau Selatan itu.
Antara soalan yang ditujukan kepada mereka adalah mengenai persiapan pasukan dan adakah terdapat kecederaan dalam kalangan pemain JDT, namun Lopez hanya menjawab: "Saya tidak tahu, saya tiada komen."
Susulan tiada ulasan lanjut daripada Lopez dan Eldstal, sidang media berkenaan berlangsung kira-kira dua minit sahaja.
-- BERNAMA
#JDT #Selangor FC #final piala FA #underdog
;