Selamat tinggal Sukan SEA Kemboja 2023! Jumpa lagi di Thailand 2025

Bernama
Mei 17, 2023 05:15 MYT
Gabenor pihak berkuasa sukan Thailand Gongsak Yodmani (tiga, kanan) mengibarkan bendera rasmi Sukan Asia Tenggara selepas menerimanya dari Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, 17 Mei 2023. --fotoBERNAMA
PHNOM PENH: Selepas menempuh cabaran selama 11 hari pertandingan, ketabalan, drama dan emosi oleh atlet rantau ASEAN, Sukan SEA Kemboja 2023 akhirnya dengan rasminya ditutup dengan persembahan penuh berwarna warni dan bertenaga di Stadium Nasional Morodok Techo, di sini, malam ini.
Hujan lebat beberapa jam sebelum majlis bermula pasti tidak menjejaskan kemeriahan pesta yang menampilkan persembahan cahaya, esan visual, bunyi, bunga api dan lebih penting lagi, budaya Kemboja.
Sejumlah 75,000 penonton membanjiri stadium tersebut untuk menyaksikan majlis penutup temasya edisi ke-32 yang buat julung kali dianjurkan oleh negara itu.
Persembahan itu dimulakan dengan persembahan muzikal bertema 'See You Again' oleh barisan penyanyi tersohor negara itu dan penari tempatan diikuti dengan persembahan seni mempertahankan diri yang menakjubkan dalam segmen 'The Great Soul of Kun Bokator'.
Kun Bokator ialah seni mempertahankan diri tradisional Khmer (Kemboja) sejak zaman purba yang melibatkan pelbagai gerakan tangan serta lutut dan disenaraikan sebagai salah satu acara sukan pertama kali diperkenalkan dalam sukan dwitahunan itu.
Perarakan masuk maskot, pegawai kontinjen, 1,000 atlet dan 2,000 sukarelawan yang berkerja tanpa jemu untuk memastikan kelancaran temasya sukan itu disambut dengan sorakan daripada penonton.
Penonton kemudian dihiburkan dengan tayangan video memaparkan sorotan aksi sepanjang temasya itu termasuk penampilan khas atlet kebangsaan Kemboja, Bou Sammang, yang menuju ke tengah padang, diiringi tepukan gemuruh daripada penonton.
Walaupun menduduki tempat terakhir, Sammang memenangi hati peminat sukan tempatan dan antarabangsa apabila beliau meneruskan lariannya dalam hujan semasa perlumbaan 5,000 meter (m) wanita pada 8 Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tea Banh, kemudian naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah Atlet Terbaik Sukan SEA ke-32, kepada dua atlet wanita - perenang Singapura, Ting Wen Quah dan wakil vovinam Kemboja, Pal Choraksmey atas pencapaian luar biasa di temasya kali ini.
Wen Quah merangkul enam pingat emas dan dua perak daripada kolam renang manakala Choraksmey memperoleh empat emas, satu perak dan satu gangsa.
Perdana Menteri, Hun Sen, kemudian diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan secara rasminya temasya sukan yang bermula 5 Mei lalu.
Semasa obor temasya dipadamkan di Phnom Penh, bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Sukan SEA ke-32 diturunkan dengan iringi lagu SEAGF yang dinyanyikan oleh 64 orang kanak-kanak.
Banh, mewakili Jawtankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) kemudian menyerahkan bendera itu kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT), Jeneral Prawit Wongsuwon selaku tuan rumah edisi akan datang pada 2025.
Ia disusuli denngan persembahan kebudayaan daripada wakil Thailand membabitkan simbol budaya, jiwa dan identiti masyarakat negara Gajah Putih itu.
Thailand akan menjadikan tuan rumah edisi ke-33 di tiga bandar utama negara itu, Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Dis, 2025.
Vietnam mempertahankan gelaran juara keseluruhan carta kedudukan pingat di sini dengan mengumpul 136 emas, 105 perak dan 118 gangsa, selepas mengumpul 205-70-104 ketika menjadi tuan rumah edisi lepas di Hanoi pada 2021.
Kemboja mencatatkan prestasi terbaik sepanjang tempoh penyertaan mereka pada temasya sukan dwitahunan itu apabila mengakhiri saingan di tempat keempat selepas mengutip 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.
Malaysia, melalui detik hitam di edisi Kemboja apabila mencipta pencapaian terburuk dalam sejarah temasya sukan itu dengan kedudukan ketujuh serta gagal mencapai sasaran 40 emas.
Malaysia hanya mampu mengumpul 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.
-- BERNAMA
#Sukan SEA Kemboja 2023 #Vietnam #kontinjen malaysia #pingat emas
;