Selamat tinggal pemain nombor satu dunia! Ashleigh Barty umum bersara

Astro Awani
Mac 23, 2022 12:13 MYT
Ashleigh Barty mengejutkan arena sukan antarabangsa apabila mengumumkan persaraannya pada usia 25 tahun. - Gambar Instagram @ashbarty
PEMAIN tenis wanita nombor satu dunia, Ashleigh Barty mengejutkan arena sukan antarabangsa apabila mengumumkan persaraannya pada usia 25 tahun.
Warga Australia itu membuat pengumuman tersebut di laman sosial Instagram pada Rabu, memberi gambaran bahawa dia mahu "mengejar impian lain".
"Hari yang sukar ini dan dipenuhi dengan emosi, saya mengumumkan persaraan saya daripada sukan tenis," katanya menerusi rakaman video tersebut hari ini.
Dalam kenyataan di hantaran tersebut juga, Barty yang memenangi Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis 2019 sangat sebak ketika mengumumkan berita yang mengejutkan itu.
Dia yang merupakan pemain pertama negaranya menjadi juara Terbuka Australia dalam tempoh 44 tahun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang menyokongnya selama penglibatannya dalam sukan tenis.
"Saya sangat gembira dan sudah bersedia. Saya tahu, pada ketika ini dalam hati saya secara peribadi, ini adalah betul.
"Saya sangat bersukur dengan apa yang sukan tenis sudah berikan kepada saya. Ia berjaya membantu mencapai impian saya dan banyak lagi," katanya lagi.
Turut sama dalam rakaman video ialah rakan baiknya yang juga bekas gandingan beregunya, Casey Dellacqua.
Barty menjadi pemain nombor satu dunia selama lebih daripada dua tahun.
Dia memenangi tiga kejuaraan perseorangan wanita Grand Slam iaitu Terbuka Perancis 2019, Wimbledon (2021) dan Terbuka Australia tahun ini.
#Grand Slam #Ashleigh Barty #Pemain tenis nombor satu #sukan
;