Selamat pulang, wira-wira negara!
Madiha Abdullah
Ogos 24, 2016 10:53 MYT
Ogos 24, 2016 10:53 MYT
HARI ini, kira-kira jam 2 petang, wira-wira yang mengharumkan nama negara di temasya Sukan Olimpik Rio yang berakhir dua hari lepas, akan kembali ke tanah air.
Kepulangan mereka pastinya dinanti-nantikan, apatah lagi dengan kilauan empat pingat perak dan satu gangsa yang akan mengiringi mereka.
Paling ditunggu tentu sekali jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang buat kali ketiga berturut-turut, berjaya membawa Jalur Gemilang ke podium.
Menerusi laman Twitter Astro AWANI, netizen tidak mahu ketinggalan meluahkan rasa tidak sabar, bangga dan gembira dengan kepulangan mereka.
Bukan sahaja ucapan, malah ada juga yang menyertakan banner hasil kreativiti masing-masing. Tidak kurang juga yang merancang mahu bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebagai tanda penghargaan atas penat lelah mereka.
Pencapaian kontinjen negara kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik.