Selamat menyambut ulang tahun ke-95, FAM

Bernama
September 11, 2021 18:46 MYT
Hampir satu abad sejak penubuhannya, FAM kekal utuh menjadi badan induk yang memayungi sukan nombor satu negara hingga kini. - Foto FAM
KUALA LUMPUR: Hampir satu abad sejak penubuhannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekal utuh menjadi badan induk yang memayungi sukan nombor satu negara hingga kini.
Pelbagai kisah suka duka temasuk jatuh dan bangun skuad bola sepak kebangsaan dilayari FAM yang menyambut ulang tahun ke-95 hari ini, sejak ditubuhkan pada 11 Sept 1926 dalam satu persidangan di Padang Kelab Selangor, di sini.
Menyingkap kembali perjalanan penubuhannya, FAM dalam satu kenyataan memaklumkan kesemuanya bermula dengan lima persatuan negeri iaitu Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura, bergabung dan menjadi pengasas kepada Malayan Football Association (MFA).
"Mereka menganggap satu badan induk diperlukan untuk mengawal selia aktiviti domestik dan antarabangsa memandangkan jawatankuasa penganjuran pertandingan Piala HMS Malaya yang diperkenalkan pada 1921 hanya bertanggungjawab terhadap saingan itu. Akhirnya ahli jawatankuasa itu memutuskan untuk mewujudkan MFA ketika bersidang di Singapura pada 1925.
"Presiden pertama MFA ialah John Middleton Sime, seorang akauntan dari Scotland yang juga keluarga pengasas konglomerat Sime Darby. Beliau dipilih pada 11 Sept 1926, tarikh tertubuhnya MFA dan titik mula pengkisahan badan induk bola sepak negara yang genap berusia 95 tahun pada hari ini," menurut kenyataan itu.
Antara kejayaan FAM adalah menganjurkan Pestabola Medeka bermula 1957 diikuti era kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun 70-an yang menyaksikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974, layak ke pusingan akhir Piala Asia 1976 dan 1980 serta layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
Bagaimanapun, FAM juga tidak pernah lekang dengan episod hitam apabila digemparkan dengan skandal rasuah pada era 90-an yang seterusnya menjadi titik permulaan kepada kemerosotan prestasi pasukan kebangsaan.
Setelah sekian lama disaji aksi longlai di peringat antarabangsa, Harimau Malaya kemudian kembali bangkit daripada 'tidur', bermula pada 2009 apabila skuad bawah 23 tahun negara menamatkan kemarau panjang merangkul emas pada Sukan SEA di Vientiane, Laos sebelum berjaya mempertahankannya pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.
Lebih manis, rentak kecemerlangan pasukan junior diteruskan skuad senior apabila mereka menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama pada 2010, termasuk menjadi naib juara bagi edisi 2014 dan 2018.
Bagi mendepani babak seterusnya dalam sukan bola sepak antarabangsa, FAM memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM, F: 30 yang dilancarkan oleh Presiden FIFA Gianni Infantino pada 2018, dalam usahanya menuju ke arah misi menyertai kelompok lima negara terbaik Asia dari segi tadbir urus menjelang 2030.
Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap FAM dapat memfokuskan kepada merencana strategi bagi memastikan Harimau Malaya, yang kini menduduki ranking ke-154 dunia, menguasai peringkat rantau Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum membantu pasukan mengorak langkah lebih jauh di pentas antarabangsa pada masa depan.
"Kita sendiri kita tahu bahawa pasukan Vietnam sedang menguasai peringkat ASEAN dan FAM perlu mencari satu cara bagi meletakkan Malaysia bersaing menjadi pasukan terbaik ASEAN terlebih dahulu," kata bekas pemain Kedah berusia 39 tahun itu kepada Bernama.
Jelasnya, FAM turut perlu merangka satu pelan jangka masa panjang khususnya bagi peringkat akar umbi untuk melahirkan generasi bola sepak yang lebih baik, selain tidak terlalu bergantung kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
-- BERNAMA
#FAM #ulang tahun #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Malayan Football Association #mfa
;