Selamat jalan Ole Gunnar Solksjaer
Astro Awani
November 21, 2021 19:04 MYT
November 21, 2021 19:04 MYT
Selepas menerima pelbagai kecaman dan tekanan, Manchester United akhirnya bertindak untuk memecat Ole Gunnar Solksjaer sebagai pengurus pasukan.
Menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris itu, Solksjaer akan sentiasa menjadi legenda di Old Trafford dan mengakui bahawa pemecatan itu adalah satu keputusan yang sukar.
“Walaupun prestasi sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengecewakan, mereka (penyokong) tidak sepatutnya terlepas pandang terhadap segala kerja keras yang telah dilakukannya sejak tiga tahun lalu dalam membina semula kejayaan.
“Solksjaer pergi dengan ucapan terima kasih atas usaha gigihnya sebagai pengurus dan kami mengucapkan yang terbaik untuk karier masa depannya.
“Dia akan selamanya dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United,” jelas kelab yang menduduki tangga ketujuh EPL.
Sebagai menggantikan tempat pengurus kelahiran Norway itu, Red Devils meletakkan Michael Carrick bagi mengendalikan pasukan itu dan pada masa sama merancang untuk melantik pengurus sementara bagi menjelang penghujung musim.
Tekanan untuk memecat Solksjaer lebih meningkat apabila ditewaskan oleh Watford 4-1 pada perlawanan malam tadi.
Solskjaer mengakui beliau sangat malu selepas pasukannya tumpas buat kali kelima dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebagai rekod, Solskjaer menandatangani kontrak baru selama tiga tahun Julai lalu dan dilaporkan akan menerima pampasan bernilai £7.5 juta (RM42.1 juta).