Sektor swasta diminta bantu arena sukan negara - Norza
Bernama
Oktober 8, 2022 08:18 MYT
Oktober 8, 2022 08:18 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyeru agar lebih banyak sektor swasta tampil membantu arena sukan negara bagi mengharungi tahun mencabar pada 2023, khususnya dari segi kewangan dalam merealisasikan sasaran emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata walaupun kerajaan menyediakan RM332 juta untuk program latihan dan pembangunan kemudahan sukan dalam Bajet 2023, peruntukan itu dirasakan masih tidak mencukupi.
Ini kerana katanya, kontinjen negara bakal mengharungi tahun penting apabila menghadapi temasya utama seperti Sukan SEA Kemboja pada 5-17 Mei dan Sukan Asia Hangzhou di China (23 Sept-8 Okt), selain kejohanan-kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, yang memerlukan bajet lebih tinggi.
"Peruntukan diberikan untuk tahun depan hampir sama dengan tahun-tahun sebelum ini. Ini merupakan satu ekosistem yang baik untuk sukan negara, tapi kita mesti setanding dengan tahap pelaburan pesaing kita jika ingin kekal berdaya saing.
"Dengan beberapa temasya dan kejohanan utama pada 2023, ini tentu sahaja akan merisaukan kerana kita memerlukan perbelanjaan yang banyak terutamanya untuk merealisasikan sasaran emas pertama negara di Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi di Jakarta.
Beliau berkata 2023 adalah tahun penting apabila Sukan SEA sahaja mempertandingkan lebih 600 acara dari 37 jenis sukan manakala atlet negara juga perlu menyertai lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa berbanding 2021 atau 2022, bagi memburu tempat serta mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan, peruntukan RM154 juta untuk pembangunan sukan serta RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.
Beliau turut mengumumkan RM20 juta untuk membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag; RM13 juta untuk e-sukan dan RM12 juta bagi pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
Mohamad Norza turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas bantuan RM5 juta disalurkan kepada bekas atlet yang banyak memberikan sumbangan kepada negara menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
"Tentu sahaja Perdana Menteri kita yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan tahu perit dan penat lelah menjadi atlet, turut menghadapi masalah kesihatan dan masalah-masalah lain yang perlu dibantu," katanya.
Bagi sukan massa dan gaya hidup sihat, Tengku Zafrul mengumumkan RM15 juta bagi Agenda Nasional Malaysia Sihat; RM10 juta untuk Hari Sukan Negara (HSN) dan Jelajah Fit Malaysia, selain potongan cukai ke atas sumbangan kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA