Seks dengan remaja: Apa nasib Adam Johnson?
Ian Johan Ariff
Mac 22, 2019 20:00 MYT
Mac 22, 2019 20:00 MYT
BEKAS pemain antarabangsa England dan Manchester City, Adam Johnson dibebaskan dari penjara pada Jumaat selepas menjalani separuh daripada hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan atas kesalahan mengadakan hubungan seks dengan remaja berusia 15 tahun.
Bagaimanapun peluang untuk Johnson kembali semula dalam bola sepak mungkin agak sukar dengan rata-rata media di Britain melaporkan kelab-kelab bola sepak tidak mahu ada kaitan dengan Johnson.
Menurut laporan Daily Mail UK, mereka telah menghubungi semua kelab League One dan League Two termasuk kelab tempat kelahiran Johnson, County Durham, dimana semuanya memberi jawapan yang sama.
Kelab-kelab tidak mahu sanggup menanggung tindak balas negatif akibat menandatangani pemain berusia 31 tahun itu.
Sebelum ini, terdapat sebuah video yang bocor dari penjara di mana bekas pemain City dan Sunderland itu menyatakan peluangnya untuk bermain lebih cerah di luar negara berbanding di England.
Namun atas rekod jenayah yang dimilikinya, kebanyakan negara termasuk China tidak boleh menerimanya akibat syarat-syarat visa yang ketat di negara masing-masing.
Sebagai contoh, China akan membuat semakan rekod jenayah terhadap semua orang yang mahu berkhidmat di negara itu, termasuk Amerika Syarikat ,Australia dan beberapa negara di Asia Barat.
Johnson juga perlu menunggu tempoh 15 tahun sebelum dapat dikeluarkan daripada senarai penjenayah seksual di Britain.