Sekatan pemain baru: Al Nassr diarah bayar hutang tertunggak
Astro Arena
Julai 14, 2023 12:52 MYT
Julai 14, 2023 12:52 MYT
KELAB Cristiano Ronaldo di Arab Saudi, Al Nassr, telah dikenakan larangan mendaftar pemain baru kerana "hutang tertunggak", demikian menurut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu beralih angin ke Timur Tengah pada Januari lalu dengan beberapa bintang kemudian mengikut jejak langkahnya sejak kerajaan negara itu berusaha untuk mengangkat Liga Pro Saudi sebagai salah satu kancah terbaik di dunia.
Bagaimanapun, FIFA kini telah mengenakan larangan ke atas aktiviti perpindahan kelab itu.
Jurucakap badan induk global itu berkata: “Kelab Al Nassr kini dilarang daripada mendaftarkan pemain baru kerana hutang tertunggak.
“Larangan berkaitan akan ditarik balik dengan serta-merta selepas penyelesaian hutang disahkan oleh pemiutang terbabit.”
Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi yang dianggarkan bernilai lebih £460 bilion (RM2.7 trilion) bertindak membeli pegangan majoriti dalam Al Nassr serta tiga lagi kelab Saudi pada Jun lalu.
Kelab itu juga memperkukuhkan lagi skuad mereka dengan menandatangani pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic, daripada Inter Milan.