'Sekarang masa untuk fikir tentang kesihatan' - Khabib tarik diri bertarung dengan Ferguson?

Haider Yutim
April 2, 2020 07:00 MYT
Untuk rekod, pertarungan antara Khabib dan Ferguson telah cuba diadakan sebanyak empat kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan. - Gambar fail
PERTARUNGAN yang amat dinanti-nantikan iaitu ‘Khabib vs Ferguson’ mungkin terpaksa dibatalkan sekali lagi susulan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
Juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menerusi posting di akaun Instagramnya baru-baru ini memberi bayangan terpaksa menarik diri daripada acara UFC 249 itu kerana tidak dapat meninggalkan negaranya, Rusia susulan ‘lockdown’ akibat pandemik tersebut.
“Saya faham, dan saya pun sememangnya lebih kecewa berbanding anda untuk membatalkan pertarungan ini.
"Saya mempunyai banyak perancangan untuk perlawanan ini namun ia bukan di bawah kawalan saya.
“Negara yang hebat dan syarikat besar pun terkejut dengan dengan apa yang berlaku, setiap hari keadaan berubah tanpa dijangka.
“Khabib masih perlu bertarung? Jaga diri anda, dan cuba letakkan diri anda di tempat saya,” katanya.
Catatan Khabib itu dipercayai ditujukan kepada pihak yang tetap mahukan perlawanan itu diteruskan meskipun dunia kini diancam penularan COVID-19.
Sungguh pun begitu, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan dari UFC mahupun presidennya Dana White berkenaan acara yang dijadual berlangsung pada 18 April.
Pada mulanya, White mahu pertarungan ini diadakan di venue tertutup tanpa penonton.
Untuk rekod, pertarungan antara Khabib dan Ferguson telah cuba diadakan sebanyak empat kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan atas sebab kecederaan kedua-dua petarung.
Sementara itu dalam sesi temu bual bersama Will Harris Productions pada Jumaat, Khabib memaklumkan dia sedia mempertimbangkan jika pertarungan ‘Khabib vs Ferguson’ itu diadakan pada bulan Ogos atau September.
“UFC mungkin akan anjur pertarungan di San Francisco pada Ogos, dan mungkin Abu Dhabi pada pertengahan September. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya menerusi sesi Instagram live.
Menurutya, jika keadaan mulai reda, kemungkinan pertarungan dengan Ferguson boleh diadakan pada waktu itu.
Difahamkan, peminat kecewa kerana jika pertarungan ini dibatalkan atau ditunda, ia pastinya akan membawa ke bulan September kerana selepas ini sudah memasuki bulan Ramadan.
“Bagaimanapun, sekarang adalah masa untuk fikirkan tentang kesihatan, untuk kekal sihat,” katanya lagi.
Khabib pada 7 September lalu berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas menewaskan Dustin Poirier dalam acara UFC 242 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod profesional Khabib kepada 28 kemenangan tanpa kalah.
#COVID-19 #Dana White #El Cucuy #Khabib Nurmagomedov #koronavirus #Mixed Martial Arts #MMA #Tony Ferguson #UFC #UFC 249 #Will Harris Productions
;