'Sejarah hitam' Lampard tahun 2010 permulaan detik bersejarah buat bola sepak
Faiq Chong
Jun 28, 2018 16:53 MYT
Jun 28, 2018 16:53 MYT
HARI ini, genap lapan tahun peristiwa jaringan pemain tengah England, Frank Lampard dinafikan oleh pengadil sewaktu perlawanan dengan Jerman dalam peringkat kalah mati Piala Dunia 2010 di Bloemfontein, Afrika Selatan.
Peristiwa berkenaan menjadi kontroversi dalam dunia bola sepak dan juga menjadi detik bersejarah buat FIFA, di mana akhirnya FIFA memutuskan untuk memasukkan teknologi bantuan pengadil (video assistant referees).
Teknologi berkenaan bermula dengan penguatkuasaan penggunaan teknologi garisan gawang (goal-line technology) dalam peraturan kejohanan Piala Dunia, bermula di Brazil pada tahun 2014.
Mengenai insiden kontroversi itu, Lampard yang juga kini sebagai pengurus Derby County berkata beliau tidak menyesal dan menerimanya sebagai hikmah yang akhirnya teknologi VAR digunakan secara tetap dalam perlawanan bola sepak hari ini.
“Saya tidak fikir banyak tentang hal itu (penggunaan VAR).
“Ia telah mengubah permainan dengan lebih baik dan saya gembira kerana ia merupakan langkah positif untuk perlawanan bola sepak secara keseluruhannya dengan pengenalan teknologi garisan gawang,” katanya ketika ditemu bual oleh Goal.com.
Pada tahun 2010, jaringan ‘volley’ beliau pada minit ke-39 sepatutnya dikira masuk dan jelas melepasi garisan setelah terkena palang dan melantun keluar dari gawang pasukan Jerman yang dijaga oleh penjaga gol Manuel Neuer, namun pengadil dari Uruguay menolak keputusan berkenaan.
Pemain dan peminat England tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang meneruskan permainan dan tidak menerima jaringan tersebut.
Jika sepakan bekas pemain Chelsea itu diterima, England berjaya mengikat Jerman dengan keputusan seri 2-2 dan corak permainan akan menjadi lebih sengit.
Begitupun, ia sudah menjadi sejarah hitam buat pasukan bola sepak dan peminat The Three Lions yang kecewa dan terpaksa akur untuk pulang ke halaman sendiri dengan keputusan 4-1, setelah penyerang Bayern Munich Thomas Muller menambah dua jaringan pada minit ke-67 dan minit ke-70.
Semalam, kejohanan Piala Dunia 2018 menyaksikan salah satu pasukan gergasi Eropah, Jerman, tersingkir dalam peringkat kumpulan setelah kalah dengan keputusan 2-0 oleh pasukan Korea Selatan di Kazan Arena.
Jaringan daripada pemain pertahanan Taegeuk Warriors, Kim Young-gwon diterima setelah diteliti menerusi pemantauan VAR dan menarik semula keputusan yang pada mulanya tidak mengiktiraf gol berkenaan.
#2010
#bola sepak
#England
#FIFA
#Frank Lampard
#gol
#Jerman
#Korea Selatan
#Piala Dunia
#Rusia
#World Cup