Sejarah emas pertama Korea Bersatu terlakar

Israr Khalid
Ogos 26, 2018 00:34 MYT
Lebih besar sejarah dicatat adalah pasukan 16 pengayuh itu menghadiahkan pingat emas pertama Unified Korea dalam temasya sukan besar. - Photo AP
PASUKAN gabungan dua Korea menjuarai acara-acara perlumbaan bot naga 500 meter wanita pada Ahad, sekali gus melakar sejarah pingat emas pertama dalam sejarah mereka di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
Entiti yang diwakili atlet dari Korea Utara dan Korea Selatan itu melakar masa 2 minit 24.788 saat, mengatasi China yang sekadar pada 2 minit 25.092 saat dalam aksi di Bandar Sukan Jakabaring, Pelembang pada Ahad.
Lebih besar sejarah dicatat adalah pasukan 16 pengayuh itu menghadiahkan pingat emas pertama Unified Korea dalam temasya sukan besar, selepas kali terakhir mencipta kejayaan dalam acara wanita di kejohanan pingpong pada tahun 1991.
Kejayaan di Indonesia itu sudah pasti menjadi satu lagi detik emas buat kesatuan yang terbentuk sejak perhubungan antara kedua-dua negara semakin rapat beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka telah berarak bersama ketika upacara pembukaan di Jakarta, berbaju putih berseluar biru di bawah bendera Korea Bersatu yang dikibarkan bersama oleh dua pemain bola keranjang wanita Korea Selatan, Lim Yung-hui dan pemain bola sepak Korea Utara, Ju Kyong Chol.
Pada ketika semua negara menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing, Korea Bersatu mendendangkan lagu rakyat popular Korea berjudul ‘Arirang’.
#bot naga #China #Korea Bersatu #Korea Selatan #Korea Utara #Sukan Asia 2018
;