Segera baca keadaan berangin gelanggang - Chong Wei

Astro Arena
Ogos 3, 2016 15:26 MYT
CHONG WEI: Kami berpeluang menguji gelanggang sebanyak tiga kali.
Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, mendapat kelebihan awal berbanding seteru utama lain apabila kem badminton negara berkesempatan menguji gelanggang utama pertandingan -- sembilan hari sebelum aksi badminton Sukan Olimpik Rio bermula.
Kelebihan awal ini tanpa diduga buat kem badminton negara yang diberi peluang menguji gelanggang utama di venue pertandingan.
Di kala kem badminton China dan Indonesia belum pun tiba di Rio kerana mempunyai kem latihan khas di Sao Paolo, pemain-pemain negara mampu mencongak strategi awal untuk memanipulasi keadaan angin dan persekitaran gelanggang.
"Kami berpeluang menguji gelanggang sebanyak tiga kali dan kami masih ada dua kali lagi peluang. Saya harap kami dapat menyesuaikan diri.
"Semua pemain akan menghadapi angin kuat ini, lawan kami pun juga begitu.
"Masa pertandingan nanti, ia akan menjadi penentu siapa paling cepat menyesuaikan diri dengan keadaan berangin," katanya di Rio.
Pemenang pingat perak Olimpik Beijing dan London ini nyata ceria dengan kesempatan yang diberikan kerana kem badminton negara sekurang-kurangnya mempunyai dua lagi peluang untuk menggunakan gelanggang utama sebagai latihan sebelum pertandingan bermula 10 Ogos ini.
Bagi Chong Wei, kelebihan ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain-pemain negara yang lain dalam memburu kecemerlangan dan impian 30 juta rakyat Malaysia meraih emas pertama di peringkat Olimpik yang cuba dilunaskan oleh kem badminton, terutama Chong Wei sendiri.
Atlet dari Pulau Pinang itu akan memulakan saingan pada 11 Ogos.
"Perlawanan kita sudah tahu, match sudah tahu. Saya akan bermain pada pagi 11 Ogos nanti.
"Saya masih ada seminggu lagi untuk membuat persiapan, yang penting untuk pulih daripada perbezaan zon masa dan setakat ini latihan semua bagus."
#badminton #Lee Chong Wei #Olimpik Rio #Rio 2016
;