Sedikit 'fobia' di gelanggang sendiri, Agilan pilih bertarung di luar negara

Haider Yutim
Oktober 9, 2019 09:00 MYT
Agilan bakal bersaing dalam aksi ONE: Century di Tokyo, Jepun pada 13 Oktober ini menentang petarung veteran Jepun, Yushin Okami. - Foto Astro AWANI
Atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani memilih untuk bertarung di luar kerana yakin ia dapat memberinya pengalaman yang diperlukan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Petarung welterweight dari ONE Championship itu turut mengakui berasa sedikit 'fobia' bertarung di dalam negara susulan pengalamannya yang pernah tewas dua kali di Kuala Lumpur.
Sungguh pun begitu, Agilan, 24, berkata dia tetap gembira jika diberi peluang bertarung di mana-mana sekali pun.
Namun, katanya jika diberi pilihan, buat masa ini dia lebih gemar bersaing di luar negara berbanding di Malaysia.
"Saya telah banyak kali berlawan di KL, dan saya gembira lawan di mana-mana pun.
"Tetapi buat masa ini saya mahu berlawan di acara yang lebih besar dan ia lebih baik jika berlawan di luar negara kerana dua perlawanan saya yang lepas di Malaysia, saya kalah.
"Jadi, secara jujurnya saya sedikit fobia. Mungkin saya perlu timba lebih pengalaman (di luar) dan kembali lebih kuat," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Dikenali sebagai 'Alligator', Agilan bakal bersaing dalam aksi ONE: Century di Tokyo, Jepun pada 13 Oktober ini menentang petarung veteran Jepun, Yushin Okami.
BACA: MMA: Agilan bakal beraksi dalam acara ONE di Tokyo Oktober ini
Ditanya apakah jangkaannya untuk perlawanan kali ini, Agilan berkata dia tidak mahu menjangkakan apa-apa dan hanya mahu membuat yang terbaik.
"Saya tidak menjangkakan apa-apa kecuali memberi pertunjukan yang terbaik dan buat yang terbaik. Itu sahaja jangkaan saya," katanya.
Selain itu, dia juga tidak mahu meletakkan keyakinan yang terlalu tinggi meskipun telah mencatat kemenangan bergaya dalam perlawanannya yang lalu.
"Bagi saya, saya tidak mahu meletakkan diri saya pada kedudukan yang terlalu tinggi. Saya tidak mahu terlalu yakin.
"Saya tahu apa matlamat saya, saya mahu menjadi juara dunia. Tetapi saya tidak mahu bersikap tergesa-gesa seperti dulu. Saya mahu bergerak ke kehadapan selangkah demi selangkah," katanya lagi.
Agilan kini memegang rekod profesional MMA dengan sepuluh kemenangan dan tiga kekalahan.
Kali terakhir dia bertarung ialah dengan Yoshihiro Akiyama yang juga dari Jepun di acara ONE: Legendary Quest di Shanghai, China pada Jun lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Agilan menang menerusi keputusan sebulat suara.
Bekas juara Malaysian Invasion musim ke-2 (MIMMA 2) itu juga pernah mencabar jaguh Amerika Syarikat Ben Askren untuk gelaran juara dunia welterweight ONE.
Agilan menjalani sesi latihannya di Monarchy MMA dan merupakan antara atlet MMA terbaik negara.
Acara ONE: Century merupakan acara yang ke-100 dianjurkan oleh ONE Championship dan bakal menampilkan seramai 28 juara dunia dalam pelbagai disiplin seni mempertahankan diri.
#Agilan Thani #Alligator #atlet MMA negara #fobia #Mixed Martial Arts #MMA #ONE Century #ONE Championship #seni bela diri campuran #Tokyo #welterweight #Yoshihiro Akiyama #Yushin Okami
;