Sedia laporan atau hadapi penggantungan, FAM!

Astro Arena
September 10, 2015 21:24 MYT
KHAIRY: FAM diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan tentang insiden itu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan penggantungan jika Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan laporan yang perlu disediakan berhubung insiden kekecohan di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, pejabat pesuruhjaya telah menghantar surat kepada FAM semalam meminta badan induk sukan bola sepak itu mengemukakan laporan berhubung insiden pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi.
"FAM diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan tentang insiden itu. Kita perlukan maklumat terperinci sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.
"Selepas kita mendapat laporan dalam tempoh itu, baru Pesuruhjaya Sukan akan buat keputusan. Kami perlu memberikan hak mereka untuk menjawab," katanya.
Khairy bercakap pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk Program Pembangunan Sukan Pilihan di kementeriannya di sini hari ini antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan lima wakil persatuan sukan.
MoU itu merangkumi lima jenis sukan iaitu renang, badminton, berbasikal, olahraga dan sepak takraw.
#FAM #Khairy Jamaluddin #Persatuan Bola Sepak Malaysia #stadium shah alam
;