SDM: Revolusi 'skateboarding' Malaysia
Ian Johan Ariff
September 13, 2017 08:15 MYT
September 13, 2017 08:15 MYT
Penubuhan syarikat swasta, Skateboarding Development Malaysia (SDM) untuk memastikan semua masalah yang dihadapi penggiat sukan papan selaju dapat diselesaikan dengan lebih sistematik.
Ini kerana setelah sekian lama sukan papan selaju ditadbir oleh persatuan atau organisasi yang bukan dikendali pemain atau atlet sukan tersebut, sekali gus tidak memainkan peranan mereka sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk membangunkan sukan papan selaju.
“Kita berjalan dengan sendiri dan agresif sekali kerana apa yang kita rancang sudah berada dalam fikiran kita sejak sekian lama sebagai seorang pemain papan selaju dan selama ini pihak dari persatuan atau yang mempunyai kuasa tidak melakukan apa-apa, kemungkinan tidak mempunyai ‘passion’ dalam sukan ini,” kata Abdulazeez Wan Ruslan, Ketua Pegawai Eksekutif SDM dan juga pengerusi bagi Persatuan Pembangunan Kemajuan Skateboard (PPKSM).
SDM yang menjalankan aktiviti-aktiviti PPKSM akan menganjurkan festival papan selaju terbesar di Malaysia, Grazrootz Skatefest di Anjung Floria Putrajaya pada 23 & 24 September ini untuk mempromosi sukan ini secara menyeluruh.
Grazrootz Skatefest yang turut mendapat kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan pembabitan peluncur skateboard paling ramai bagi tujuan mendapat pengiktirafan Malaysia Book Records.
Bukan setakat festival skateboard sahaja, PPKSM yang baharu ditubuhkan pada April tahun ini giat menjalankan liga skateboard komuniti (LSK) bermula di Sungai Besi dan Shah Alam satu yang tidak dianjurkan mana-mana persatuan sukan ekstrem atau papan selaju yang sudah wujud sekian lama di Malaysia.
“Dari liga komuniti ini kita mencari kumpulan bakat-bakat sukan ini, mengetahui kemampuan atau meletakkan penanda aras atlet-atlet kita untuk dibandingkan dengan skaters luar negara, kemudian melihat apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan sukan ini di Malaysia dengan kemudahan yang lebih hebat untuk membaiki kebolehan mereka,” tambah Abdulazeez yang baharu berusia 31 tahun.
SDM turut membangunkan aplikasi mudah yang dinamakan ‘Skateboard App’ untuk penggiat papan selaju mendaftar mana-mana kejohanan anjuran PPKSM dan juga mencari lokasi-lokasi gelanggang papan selaju di Malaysia.
Selain kejohanan papan selaju, Grazrootz Skatefest akan diserikan dengan persembahan 20 pemuzik ‘indy’, klinik skateboard, festival foodtruck dan juga pameran barangan lokal.
#Grazrootz Skatefest
#Papan Selaju
#PPKSM
#Putrajaya
#SDM
#Skateboard
#skateboarding development malaysia
#sukan ekstrem