Scolari: Tak adil, Neymar asyik kena bantai!

Astro Arena
Julai 1, 2014 09:53 MYT
SCOLARI: Neymar sedang menerima layanan yang sama seperti Cristiano
Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari percaya Neymar menjadi mangsa kekasaran pihak lawan tanpa menerima layanan seadilnya.
Scolari mendakwa pemain berumur 22 tahun tersebut dilayan secara amat kasar oleh para pertahanan pihak lawan - sama seperti layanan yang diterima oleh Cristiano Ronaldo semasa beliau mengurus Portugal.
"Saya pernah mengalami situasi sebegini dalam Euro 2004, semasa saya bersama Portugal," kata beliau kepada La Gazzetta dello Sport.
"Dalam saingan tersebut, Cristiano Ronaldo mendapat layanan yang 'amat istimewa' daripada pihak lawan.
"Saya masih ingat dalam separuh akhir menentang Belanda, dia diasak secara kasar selepas hanya lima minit perlawanan bermula dan dia tidak dapat beraksi dalam separuh masa kedua akibat kecederaan itu.
"Neymar sedang menerima layanan yang sama seperti Cristiano. Kakinya sentiasa bengkak berikutan setiap perlawanan. Neymar turut dikasari secara teruk dalam lima minit pertama menentang Chile."
Scolari masih tidak tahu sama ada Neymar (kecederaan paha) akan cergas untuk berhadapan Colombia dalam peringkat suku-akhir Piala Dunia pada Sabtu ini. -- Astro Arena
#Brazil #Luiz Felipe Scolari #Neymar #Piala Dunia
;